JOHOR BAHRU 20 Jun - Sebanyak 11 wanita warga Indonesia dan seorang rakyat China yang bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) dicekup ketika asyik meraikan sambutan hari jadi salah seorang daripada mereka di sebuah pub di bandar raya ini malam tadi.
Dalam serbuan yang dilakukan Jabatan Imigresen Johor pada pukul 11.45 malam itu, para pengunjung dan GRO di kelab tersebut langsung tidak menyedari kehadiran pihak berkuasa kerana masing-masing sedang leka berparti, ditambah pula dengan bunyi bising muzik yang dimainkan.
Timbalan Penolong Pengarah Imigresen negeri, Sapian Kamarudin berkata, sebaik sahaja lampu dinyalakan mereka terkejut dan menjerit setelah menyedari 15 anggota penguat kuasa berada dalam premis berkenaan.
"Setelah diperiksa kesemua wanita itu dan tiga pelanggan lelaki wara Indonesia ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
"Kesemua yang ditahan berusia antara 20 hingga 48 tahun dan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Pekan Nanas, Pontian untuk tindakan lanjut," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Menurut Khairulanuar, kes ini disiasat di bawah Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 atas kesalahan menyalah guna pas lawatan dan permit dan Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63. SUMBER