Khamis, 3 Januari 2013

KANANG ANAK LANGKAU PERGINYA SEORANG PAHLAWAN GAGAH BERANI

Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau boleh diibaratkan sebagai Rentap seorang pahlawan Iban negeri Sarawak yang cukup gagah perkasa.

Hari ini pada jam lebih kurang 1.45 pagi, negara ini kehilangan seorang perwira negara yang menjadi ketakutan kepada pihak komunis satu masa dulu.

Kanang yang lahir pada tahun 1945 merupakan seorang perajurit yang terkenal, namanya meniti dari bibir ke bibir setiap anggota tentera yang berkhidmat serta menjadi ikon sebagai pencetus semangat juang di kalangan mereka dalam mempertahankan negara.

Dilahirkan di Julau, Kanang menyertai perkhidmatan Renjer Sarawak sebagai pengesan jejak Iban pada 21 April 1960 dan beliau diserap ke dalam pasukan Renjer Malaysia apabila Persekutuan Malaysia di diisytiharkan pada 16 Sept 1963, Kanang bersara dari perkhidmatan pada tahun 1986 setelah berkhidmat selama 21 tahun dengan menjawat jawatan pegawai waran 1 sebagai jawatan terakhir beliau.

Antara sejarah yang melibatkan Kanang anak Langkau ialah tragedi di Tanah Hitam Perak dimana Kanang hampir menemui ajal semasa bertempur dengan pihak musuh, Kanang yang memimpin pasukan Platun Perisikan Pertempuran Unit dalam Renjer DiRaja Batalion Ke-8 ditugaskan mencari kedudukan musuh setelah kematian seorang askar di kawasan tersebut.

Dalam operasi mengesan itu, pasukan Kanang telah diserang oleh musuh setelah pasukannya memasuki kawasan tempat musuh berkhemah, dalam pertempuran tersebut, dikatakan bahawa seorang anggota dari pasukan beliau telah terkena tembakan dan mengalami kecederaan parah.

Bukan itu sahaja, Kanang sendiri juga telah terkena 3 das tembakan yang mana telah mengenai jantung, merosakkan buah pinggang dan usus perut beliau terburai keluar, namun kerana kekuatan semangat beliau dalam menentang musuh negara, beliau terselamat setelah 14 bulan di tempatkan di hospital dan kembali bertugas seperti biasa selepas itu.

Oleh kerana jasa beliau kepada tanah air, pada 3 jun 1981 beliau telah dianugerahkan dengan 2 anugerah iaitu Panglima Gagah Berani (PGB) dan Seri Pahlawan Gagah Perkasa yang telah diberikan oleh Yang DiPertuan Agong pada masa itu Sultan Ahmad Shah.

Kanang juga telah dikurniakan dengan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak 'Panglima Gemilang Bintang Kenyalang' (PGBK) yang membawa gelaran Datuk.

Namun pada hari ini, kita telah kehilangan beliau, dan Sangkakala yakin serta percaya bahawa ramai lagi golongan muda yang mampu menjadi seperti Kanang anak Langkau dalam mempertahankan tanah air dari segala anasir negatif dan tidak bertanggungjawab.


Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone

Tiada ulasan: