Selasa, 16 Julai 2013

KENYATAAN MEDIA GERAKAN BELIA 4B MALAYSIA TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA SUBJEK WAJIB

Gerakan Belia 4B Malaysia melahirkan sokongan penuh terhadap keputusan Kerajaan Malaysia, yang dinyatakan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Pelajaran, untuk menjadikan subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) sebagai subjek wajib di semua institut pengajian tinggi swasta berkuatkuasa September 2013.

Tindakan ini amat dialu-alukan sebagai proses pembelajaran ilmu untuk memperkukuhkan pemahaman mengenai sejarah ketamadunan Islam dan dunia sejagat dikalangan mahasiswa di Malaysia.

Gerakan Belia 4B Malaysia berpandangan bahawa polisi tersebut adalah satu agenda langkah kehadapan, (moving forward agenda) di mana ianya akan memberi peluang kepada mahasiswa agar lebih memahami sejarah ketamadunan Islam dan Asia selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan (Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan).

Kami berpendapat bahawa keharmonian dan kesejahteraan tanahair Malaysia mesti bermula dengan rasa hormat, akur dan toleren seluruh masyarakat terhadap kesyumulan agama Islam dan kesyumulan pengamalan agama Islam oleh umat Islam di Malaysia. Rasa hormat, akur dan toleren ini hanya boleh timbul sekiranya semua rakyat mempunyai pemahaman yang tinggi mengenai sejarah dan ketamadunan Islam dan Asia.

Sebagai contoh, pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee telah menyinggung hati umat Islam dan orang Melayu dengan paparan dan perkataan yang jelas tidak memahami sensitiviti, adat dan cara hidup umat Islam di Malaysia. Oleh kerana itu, semua masyarakat Malaysia wajib mempelajari sejarah ketamadunan Islam dan Asia agar kekeliruan mengenai agama Islam dapat dielakkan dan keharmonian Negara terus terpelihara.

Gerakan Belia 4B Malaysia juga menyeru semua pihak termasuk NGO-NGO lain agar menyokong usaha murni Kerajaan ini dan tidak berburuk sangka dengan tujuannya. Kami percaya bahawa Kerajaan tidak berniat sama sekali untuk impose akidah Islam terhadap bukan Islam kerana perkara tersebut terpelihara di dalam Perlembagaan Persekutuan dimana setiap warganegara Malaysia bebas mengamal agama pilihan masing-masing.

Gerakan Belia 4B Malaysia juga ingin menyelar pihak-pihak yang menyatakan penentangan terhadap keputusan Kerajaan Malaysia ini agar tidak mempolitikkan isu ini. Agama Islam adalah termaktub sebagai agama rasmi persekutuan dan tiada seorang warganegara Malaysia pun yang patut rasa gusar dengan pembelajaran mengenai sejarah agama Islam.

Yang Benar
MUA'AMAR GHADAFI JAMAL BIN DATUK WIRA JAMALUDIN
PRESIDEN GERAKAN BELIA 4B MALAYSIA BERSAMA SELURUH MKT DAN AHLI