Jumaat, 11 April 2014

KENYATAAN MEDIA MENTERI DALAM NEGERI ISU PEMEGANG PASPORT BRITISH OVERSEAS CITIZENS (BOC) @muaamarghadafi


1. Menteri Dalam Negeri Y.B. Dato' Seri Dr Ahmad Zahid bin Hamidi mengeluarkan kenyataan berikutan dakwaan oleh beberapa pihak mengenai perkara di atas. Dakwaan tersebut adalah tidak berasas dan tidak benar.

2. Menteri Dalam Negeri tidak pernah mengeluarkan sebarang surat untuk memberi kerakyatan kepada pemegang passport BOC melainkan berdasarkan jawapan kepada soalan Ahli Parlimen Tanjung, Y.B. Ng Wei Aik bertarikh 3 April 2014 yang telah disalah ertikan.  Sehingga 11 April 2014, hanya tiga (3) orang pemegang pasport BOC telah diterima pulang oleh Kerajaan Malaysia. Ketiga-tiga mereka ini dikeluarkan dengan kemudahan Pas Residen dan bukan taraf kewarganegaraan. Jumlah yang didakwa seramai 1000 orang seperti dilaporkan dalam media adalah tidak benar. Kerajaan Malaysia akan memberikan kemudahan Imigresen kepada sesiapa sahaja yang memerlukan sama ada rakyat Malaysia atau warga asing sejajar dengan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.

3. Perlu ditegaskan bahawa pengeluaran Pas Residen kepada pemegang passport BOC sama sekali tidak bermaksud mereka diberikan taraf kewarganegaraan. Berdasarkan kepada model permohonan kewarganegaraan, seseorang bekas warganegara memerlukan sekurang-kurangnya 17 tahun untuk mendapatkan semula taraf kewarganegaraan Malaysia. Tempoh yang ditetapkan ini adalah intipati penting dalam menguruskan kepulangan bekas warganegara bagi memastikan mereka menumpahkan taat setia kepada Negara ini dan tidak sewenang-wenangnya mengulangi lagi perbuatan melepaskan kewarganegaraan seperti yang dilakukan sebelum ini.

4. Pemegang pasport BOC merupakan warganegara Malaysia yang telah memilih untuk melepaskan taraf kewarganegaraan Malaysia bagi membolehkan mereka memohon dan dipertimbangkan sebagai warganegara United Kingdom. Kebanyakan daripada mereka sehingga kini menetap di United Kingdom dan masih menunggu keputusan dari pihak Kerajaan United Kingdom bagi permohonan mendapatkan taraf kewarganegaraan United Kingdom. 

5. Pada 4 Julai 2002, Kerajaan United Kingdom telah meminda British Nationality Act 1981 (BNA 1981). Berdasarkan kepada pindaan tersebut, seseorang pemegang pasport BOC dari Malaysia hanya boleh dipertimbangkan untuk diberikan taraf kewarganegaraan United Kingdom sekiranya mereka tersebut bukanlah lagi seorang warganegara Malaysia dan telah melepaskan atau dilucutkan kewarganegaraan Malaysia pada atau sebelum 4 Julai 2002.

6. Berikutan pindaan tersebut, Kerajaan United Kingdom tidak lagi mempertimbangkan permohonan untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan United Kingdom oleh pemegang pasport BOC dari Malaysia yang telah melepaskan atau dilucutkan kewarganegaraan Malaysia selepas 4 Julai 2002. Dengan demikian, pemegang pasport BOC berkenaan tidak mempunyai pilihan selain dari pulang secara sukarela ke Malaysia atau bakal berdepan dengan tindakan ditangkap dan ditahan oleh pihak berkuasa Kerajaan United Kingdom.

7. Kerajaan United Kingdom telah mengemukakan usul pada April 2011 untuk menghantar pulang pemegang passport BOC ke Malaysia. Setelah dikaji dan diadakan beberapa perbincangan di antara kedua-dua negara, Kerajaan Malaysia memberikan cadangan balas sepeti berikut:

a. Kerajaan Malaysia tidak akan memberikan taraf kewarganegaraan secara automatik kepada mereka namun, sebagai alternatif hanya akan mengeluarkan Pas Residen. Ini membolehkan pemegang pasport BOC berada di Malaysia secara sah selaras dengan peruntukan perundangan sedia ada iaitu Peraturan 16A, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Di bawah peruntukan ini, mana-mana bekas warganegara yang ingin berada di dalam negara boleh memohon Pas Residen sebagai kebenaran untuk tinggal di Malaysia dalam tempoh yang dibenarkan oleh Kerajaan Malaysia. Kemudahan Pas Residen bagaimanapun tidak memberikan sebarang taraf kepada pemegang pasport BOC. Sekiranya pemegang pasport BOC yang kembali ke Malaysia dan memegang Pas Residen ingin mendapatkan kembali taraf kewarganegaraan, mereka perlu melalui proses yang sama seperti mana warga asing lain iaitu mengemukakan permohonan Permit Masuk, seterusnya permohonan taraf Pemastautin Tetap dan taraf Kewarganegaraan.

b. Pas Residen ini perlu dipohon semasa berada di United Kingdom melalui Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London. Mereka hanya boleh berlepas ke Malaysia setelah permohonan mereka diluluskan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM). Semua pemegang passport BOC yang diluluskan dengan Pas Residen disyaratkan menaiki penerbangan terus ke Malaysia.

c. Pas Residen akan ditampal di dalam pasport BOC mereka sebaik tiba di pintu masuk dan sebelum mereka melangkah keluar dari terminal. Satu kaunter khas disediakan di KLIA bagi memudahkan mereka melapor diri. Penyediaan kaunter khas ini juga memudahkan pihak JIM mengesan pemegang pasport BOC dan mengelakkan mereka masuk ke dalam negara tanpa pas yang sah. Ini adalah penting bagi memastikan pemegang pasport BOC tidak melanggar undang-undang imigresen dan menghadapi risiko ditahan kerana tidak memiliki suatu pas yang sah. Kaunter khas ini hanya dibuka pada hari ketibaan pemegang pasport BOC dan pihak Imigresen tidak pernah menyediakan laluan khas untuk mereka.

d. Seorang pegawai imigresen akan bertugas di KLIA ketika tarikh ketibaan pemegang BOC. Pegawai ini akan memastikan pemegang pasport BOC yang tiba dikeluarkan dengan Pas Residen dan diberikan taklimat mengenai peraturan yang ditetapkan kepada pemegang Pas Residen; dan

e. Atase Imigresen di United Kingdom, serta  pegawai-pegawai di Jabatan Imigresen Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri hendaklah memberikan khidmat nasihat sebelum dan selepas kepulangan pemegang pasport BOC sekiranya terdapat persoalan yang diajukan kepada mereka.

8. Secara keseluruhannya Kementerian Dalam Negeri tidak pernah menerima semula kerakyatan pemegang passport BOC sebegitu mudah seperti yang disebarkan di media. Malah Kementerian Dalam Negeri akan bertindak tegas dan mengikut prosedur-prosedur yang digariskan kerajaan Malaysia.

YB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi
Menteri Dalam Negeri
11 April 2014
Sent from Samsung Mobile

Tiada ulasan: