Kejayaan rundingan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama ketua pemberontak Alexander Borodai yang menguasai wilayah Donetsk yang menjadi lokasi pesawat MH17 terhempas telah membuka mata dunia.
Kisah kejayaan itu turut dilaporkan besar-besaran oleh media antarabangsa dan menjadi viral di laman sosial namun Najib tidak pernah menceritakan secara terperinci tentang 'panggilan perhitungan' itu.
Hari ini, Perdana Menteri akhirnya menceritakan kisah itu kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja beliau di Belanda dan berikut adalah transkrip sidang akhbar berkenaan:
"Ïa satu panggilan perhitungan yang saya buat. Saya tahu sensitiviti berbuat demikian. Saya membuatnya melepasi sempadan geopolitik. Proses pengumpulan bukti tanpa menerima mayat dan kotak hitam akan menjadi mustahil.
Semakin lama menunggu , semakin tinggi risiko kotak hitam dipinda dan dimusnahkan. Ia satu risiko yang jelas. Keluarga yang terjejas juga akan semakin tertekan secara emosi.
Panggilan itu secara tulennya berpaksikan motif tersebut. Sebab itulah saya buat (panggilan) iaitu berunding untuk selesaikan kes. Apa yang saya lakukan tidak berkaitan dengan pengiktirafan terhadap kemerdekaan (Wilayah Donetsk).
Saya hanya telefon, saya tidak pernah jumpa (Borodai). Saya perlu buat panggilan perhitungan supaya saya boleh percaya dan berpegang kepada perkataan mereka.
Tambahan pula, situasi di tapak nahas amat mencabar namun pasukan awal yang kita hantar melakukan tugas dengan baik.
Tiada apa-apa tuntutan dari mereka. Tiada wang tebusan, tiada janji, hanya merayu atas dasar kemanusiaan. Mereka perlu memberi maklum balas kerana ini merupakan tragedi kemanusiaan.
Saya perlu melakukannya sendiri, tidak boleh melalui kaedah biasa sebab ini rundingan rahsia yang perlu dibuat sendiri oleh saya.
Selain berunding, pada masa sama saya memberikan arahan kepada pasukan (Malaysia) di lapangan diketuai Leftenan Kolonel Mohd. Sakri Hussain (Ketua Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN)).
Pada masa itu, timbul juga fikiran bahawa sesuatu tidak betul telah berlaku. Hantar 12 orang diketuai Leftenan Kolonel Sakri ke zon konflik yang ada risiko tersendiri. Kalau ada sesuatu berlaku, kita tidak tahu nasib 12 orang ini.
Selain kesedihan keluarga mangsa (MH17), anda meletakkan 12 orang ini dalam risiko kalau misi gagal.
Ini yang berlegar dalam fikiran saya dan sudah tentu saya perlu lalui tekanan emosi semasa proses itu tetapi Alhamdulillah hasilnya positif dan kita mencapai sesuatu yang ramai beranggapan mustahil". UTUSAN
1 ulasan:
Kreabiliti PM semakin menyerlah
Catat Ulasan