Jumaat, 15 Ogos 2014

KENYATAAN MEDIA NGO GABUNGAN ANTI PENYELEWENGAN SELANGOR #sultanmurka #langkahkajang

                        Hamidzun Khairuddin
                                      Presiden
           Gagasan Anti Penyelewengan Selangor

HORMATI TUGAS DAN PERANAN TUANKU SULTAN SELANGOR

1. Saya ingin menyeru kepada semua pihak agar menghormati tugas, peranan dan tanggungjawab Tuanku Sultan Selangor sebagai Sultan dan Yang Dipertua Negeri Selangor. Institusi Raja Melayu di Selangor yang sudah berkurun usianya sekali lagi diuji dengan mehnah politik yang gagal diurus oleh parti-parti politik di Selangor.

2. Saya kesal dan mencela tohmahan-tohmahan yang dilemparkan oleh beberapa ngo yang menuduh Tuanku Sultan campur tangan dalam urusan kerajaan negeri.

3. Jangan salahkan Tuanku Sultan kerana baginda bertanggungjawab melaksanakan tugas dan peranan baginda seperti yang diperuntukan oleh Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1958.

4. Ngo-ngo ini sewajarnya menghalakan jari telunjuk mereka kepada parti-parti dalam kerajaan pakatan rakyat yang gagal untuk menguruskan pentadbiran Negeri Selangor dengan baik, aman dan sempurna. Rakyat telah memberikan mandat kepada pakatan rakyat dalam pru 13 yang lalu sebagai kerajaan negeri, maka laksanakan tanggungjawab ini, jangan sia-siakan nya, jangan berebut sana dan berebut sini, jangan sombong, bongkak dan takbur.

5. Lord Acton, seorang tokoh sejarah dan pejuang kebebasan politik menyebut "Power tends to corrupts, absolute power corrupts absolutely". Begitulah yang terjadi di Selangor sekarang ini, parti-parti pakatan rakyat kini rancak bercakaran sesama mereka kerana soal kuasa. Mereka melupakan kepentingan dan kebajikan rakyat. Mereka lupa diri. Mereka lupa mandat rakyat. Mereka kini berebut kuasa sesama mereka. Mereka laksanakan transaksi rasuah membeli Adun-adun seperti membeli belah di hypermarket. Adakah ini jenis politik yang mereka hendak wariskan kepada generasi muda anak Selangor ?

6. Konflik Menteri Besar Selangor kali ini berpunca dari masalah peribadi ketua umum Pkr yang juga penasihat ekonomi kerajaan negeri Selangor. Dia mahu menyemai budaya kronisme dan nepotisme dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor dengan cubaan melantik isterinya sebagai Menteri Besar. Dia tamak dan mahu memusatkan kuasa kepada keluarganya.

7. Ia nya bertambah meruncing apabila pemilihan Pkr yang yang sengit dan kacau bilau terkait pula dengan parti-parti dalam pakatan rakyat teraju kerajaan negeri sekarang. Kegagalan menguruskan kejayaan akhirnya menjadikan mereka bertelagah sesama mereka.

8. Saya yakin Tuanku Sultan Selangor tiada niat dan tidak berminat langsung untuk masuk campur dalam politik dalaman dan luaran pakatan rakyat. Tetapi apabila baginda telah dirujuk dengan persengketaan  dan perebutan jawatan Menteri Besar yang semakin tidak karuan, adalah menjadi tanggungjawab baginda untuk memberikan titah kepada Menteri Besar seadanya berdasarkan peruntukan undang-undang.

9. Sebagai penduduk asal Klang di negeri Selangor yang telah wujud sejak zaman Empayar Melayu Melaka dan rakyat Tuanku Sultan Selangor, saya menjunjung penuh segala titah Tuanku Sultan seperti yang diperuntukan oleh perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh kerajaan Negeri Selangor.

10. Saya menyeru kita rakyat Negeri Selangor BERSATU dan boleh memastikan kuasa rakyat dihormati oleh parti-parti yang telah dan akan diberikan mandat dalam mana-mana pilihanraya umum. Saya yakin kita mampu mengubahnya dan sekali gus membantu Tuanku Sultan Selangor dalam memastikan kerajaan Selangor terus kuat, kukuh, penuh bertanggung jawab dan telus dalam mentadbir negeri Selangor.

11. Kuasa rakyat kuasa keramat. Amalan rasuah, kronisme dan nepotisme wajib terus disanggah dalam melahirkan wajah negeri Selangor baru yang lebih dihormati dipersada politik tanah air.

Hamidzun Khairuddin
Presiden
Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS)
019-2233405

Shah Alam
Jumaat, 19 Syawal 1435 bersamaan
15 Ogos 2014


I

Tiada ulasan: