Selasa, 13 Mei 2014

RM 8 JUTA BINA KILANG PADI PPK DI GERAI #DSIS @ismailsabri60 @tunfaisal


BESUT - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani meluluskan peruntukan sebanyak RM8 juta bagi membina sebuah kilang padi di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gerai di sini.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan pembinaan kilang berkapasiti 20,000 tan setahun itu membolehkan padi yang dihasilkan petani di daerah Besut dan Setiu dijual kembali kepada petani dan keperluan pasaran luar.

Menurutnya, kemudahan itu dibantu dengan kewujudan Pusat Pengumpulan Belian Padi PPK Gerai, Pelagat, Kerandang serta Setiu yang mencapai kapasiti sehingga 28,000 tan.

Beliau berkata, keputusan meluluskan pembinaan kilang itu dibuat setelah mengambil kira kepentingan 7,812 petani serta keluasan tanaman padi sebanyak 10,3714 hektar dengan purata hasil pengeluaran antara tiga hingga lima tan.

"Dalam perjumpaan dengan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri, Nawi Mohamad tempoh hari, beliau ada membangkitkan isu keperluan kilang pemprosesan padi di Besut.

"Permohonan ini telah dikemukakan sejak tahun 2000 dan saya difahamkan bahawa selama ini petani dan Pertubuhan Peladang akan menghantar padi ke kilang Bernas di Besut dan Setiu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Dana Kebajikan Sub Sektor Padi Peringkat Kebangsaan di Pusat Pengumpulan Padi Kawasan Gerai di Kampung Alor Keladi di sini kelmarin.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya, Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

Selain Nawi, yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Muhammad Pehimi Yusof; Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Zainal Dahalan dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Datuk Saipolbahri Suib.

Ismail Sabri turut menyarankan kilang yang bakal dibina itu membeli dan memproses padi dari Pasir Puteh, Kelantan agar peruntukan itu dapat dimanfaatkan bersama.

Menurut beliau, bagi mengukuh­kan peranan Pertubuhan Peladang dalam subsektor padi, empat Pusat Pengumpulan Padi akan diwujudkan di PPK Bintong, Padang Serai, Seberang Perak dan Machang, manakala empat Pusat Pengumpulan Padi sedia ada akan dinaik taraf.


Sent from Samsung Mobile

Tiada ulasan: