Isnin, 12 Mei 2014

258 DAFTAR PROGRAM BANTUAN TANAMAN SEMULA #DSIS @ismailsabri60 @tunfaisal


TEMERLOH - Meskipun tempoh akhir permohonan program bantuan tanaman semula pokok buah-buahan terpilih akan berakhir bulan depan, hanya 258 peserta memohon me­nyertai program tersebut setakat ini melibatkan peruntukan sebanyak RM887,832.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, daripada jumlah itu, daerah Bentong merekodkan jumlah peserta tertinggi iaitu 52 orang manakala dua daerah iaitu Rompin dan Kuantan masih belum mendaftar mana-mana peserta.

"Jadi saya minta pegawai-pegawai pertanian yang terlibat supaya turun padang untuk tujuan pendaftaran peserta demi kebaikan masyarakat," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Hari Terbuka Pejabat Pertanian Daerah Temerloh dan Promosi Nangka 2014 di Dewan Sri Kerinau di sini kelmarin.

Pada 23 Mac lalu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan program Bantuan Tanam Semula Pokok Buah-buahan Terpilih bagi melon­jakkan pendapatan masyarakat luar bandar dengan sasaran me­libatkan kira-kira 6,000 peserta dari seluruh negara.

Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM28 juta dalam tempoh tiga tahun bagi melaksanakan program itu bertujuan memajukan lagi sektor pertanian negara khususnya industri buah-buahan tempatan.

Menurut Shafik Fauzan, program bantuan tanaman semula berkenaan melibatkan buah-buahan terpilih yang mampu dipasarkan ke peringkat antarabangsa seperti durian Musang King, mangga, manggis dan nangka.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, antara masalah dihadapi adalah kekurangan jentera pertanian yang kebanyakannya telah uzur.

Bagi mengatasi masalah tersebut, pihaknya akan memperluaskan program pinjaman pembelian jentera kepada petani seperti yang telah dilaksanakan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) kawasan Rompin.

SUMBER UTUSAN 
Sent from Samsung Mobile

Tiada ulasan: