Rabu, 6 November 2013

GAMBAR TEMAN WANITA PEROMPAK DISEBAR


Polis hari ini mengedarkan nama dan gambar seorang wanita dipercayai teman wanita pengawal keselamatan yang disyaki merompak kedai emas di pusat beli-belah KL Festival City, Setapak, 31 Oktober lalu.

Wanita yang dikenali sebagai Norena Lamuddin, 27, berasal dari Lambitan, Filipina itu disyaki menyimpan sebahagian besar barang kemas bernilai kira-kira
RM150,000 yang disamun itu.
          
"Kami percaya wanita itu adalah teman wanita kepada suspek utama dan menggunakan kad pengenalan palsu dengan nama Hasnah Hassan," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mengenali atau pernah melihat wanita terbabit untuk tampil memberikan kerjasama di balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
          
Bercakap pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, beliau berkata, polis hanya menemui semula 10 utas daripada 100 barang kemas yang telah disamun lelaki terbabit.
          
Ahad lalu, pengawal keselamatan yang disyaki menyamun kedai emas itu ditahan di Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT), Sepang.
          
Lelaki rakyat Filipina berusia 27 tahun itu ditahan pada pukul 7 pagi bersama seorang rakannya yang juga rakyat Filipina ketika menunggu penerbangan untuk ke Sabah.
          
Ku berkata siasatan awal mendapati kedua-dua suspek yang ditahan pada 3 November lepas memiliki kad pengenalan milik orang lain yang dipalsukan.
          
"Sebelum ini, polis menahan seorang penyelia di syarikat keselamatan yang mengupah suspek bekerja dan dia disiasat di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana membenarkan individu lain memegang senjata api miliknya.
          
"Senjata api itu milik penyelia syarikat keselamatan berkenaan," katanya sambil memberitahu syarikat keselamatan itu memiliki lesen yang sah.


Sent from Samsung Mobile

Tiada ulasan: