Selasa, 17 April 2012

MANA HASAN ALI DAN JATI BILA KES MACAM NI JADI

Mana dia NGO yang ditubuhkan oleh bekas EXCO Selangor Datuk Dr Hasan Ali yang mengatakan bahawa NGO yang ditubuhkan oleh beliau itu akan mempertahankan Melayu Islam dan Raja?


Tindakan beberapa pemimpin pembangkang yang terus berdiam diri biarpun dikaitkan dengan perbuatan menghina dan mempersenda raja- raja Melayu semasa istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong XIV, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Negara Rabu lalu menimbulkan persoalan.

Ia berikutan sehingga kini tiada seorang pun dalam kalangan mereka yang tampil memberi kenyataan bagi menjawab dakwaan tersebut, biar pun terdapat desakan supaya berbuat demikian.

Antara pemimpin pembangkang yang dikaitkan dengan perbuatan tersebut seperti didedahkan oleh petugas perubatan, Dr. Rahman Kadir ialah Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali dan Naib Presidennya, Tian Chua.

Walaupun Tian Chua menerusi laman sosial Twitter awal-awal lagi menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai pembohongan UMNO, namun Rahman mempertahankan pendedahan beliau berhubung perbuatan biadab itu.

Sehubungan itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak pemimpin-pemimpin pembangkang berkenaan tidak terus mendiamkan diri, sebaliknya tampil membuat penjelasan.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali berkata, sikap berdiam diri pemimpin pembangkang itu memberi tanggapan bahawa kejadian tersebut benar-benar berlaku.
‘‘Mereka berdiam diri tidak menjawab dakwaan itu kerana tidak mahu menjadi defensif kerana mereka memang lakukan penghinaan itu. Jika jawab, mereka mesti menafikan.

‘‘Sekarang ini mereka dalam dilema, jadi cara terbaik adalah tutup mulut atau buat-buat tidak ada apa-apa berlaku,’’ kata beliau lagi.

Dr. Rahman dalam laman sosial Facebooknya menzahirkan rasa kecewa terhadap perbuatan biadab beberapa pemimpin pembangkang yang menghina serta mempersenda bentuk badan pemimpin kerajaan dan raja-raja Melayu.

Perkara itu menimbulkan kemarahan pelbagai pihak termasuk gesaan menubuhkan suruhanjaya diraja menyiasat perkara itu.

Dalam pada itu, Ibrahim berkata, sudah tiba masanya, NGO terutama Pertubuhan Jalur Tiga (Jati) yang memartabatkan kedudukan Islam, Melayu dan institusi raja termasuk pemimpin parti politik seperti UMNO sepakat menentang perbuatan itu dengan cara berhimpun bagi menyatakan pendirian masing-masing.

Dalam hal itu, katanya, Perkasa sedia berganding bahu dengan mana-mana pihak demi mempertahankan raja-raja Melayu daripada dihina oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar pula berkata, pemimpin pembangkang perlu berani tampil menjawab tuduhan jika benar mereka tidak melakukan perbuatan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, sikap berdiam diri sudah sinonim dengan pemimpin pembangkang apabila tidak mampu menjawab setiap tuduhan yang dilemparkan.

‘‘Kita mendesak sesiapa yang telah mencaci, menghina, dan menjatuhkan imej institusi raja berani tampil jangan bersikap baling batu sembunyi tangan.
‘‘Kita tidak pelik mereka berdiam diri kerana banyak isu sebelum ini pun termasuk menghina dan menjatuhkan maruah negara sekali pun, mereka juga mengambil sikap sedemikian,’’ katanya.

Sementara itu, Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail mencabar pihak pembangkang membuat penafian menerusi media jika dakwaan itu tidak benar.

Katanya, mereka tidak boleh sekadar menutup mulut kerana institusi raja tidak boleh dipersoalkan malah diejek sebegitu rupa.

‘‘Tindakan pembangkang itu adalah biadab dan kurang ajar serta melanggar ciri-ciri Rukun Negara.
‘‘Justeru, pihak berkuasa diminta mengambil tindakan sewajarnya, jangan sampai rakyat hilang percaya jika tidak ada penguatkuasaan kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan,’’ katanya.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

http://www.youtube.com/watch?v=nQ0tOAy2dqA