Jumaat, 2 Januari 2015

EDDY CASMADY JAWAB TOHMAHAN MALAYSIAKINI

Kenyataan Naib Pengerusi Briged Kesatria Muda - Mohd Eddy Casmady Che / Hussin mengenai Laporan Malaysiakini Mengenai Paket Beras Bantuan Banjir Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani Berpelekat Wajah Perdana Menteri.


1. Malaysiakini telah membuat satu pelaporan berita palsu dan memanipulasikan berita bergambar melalui portal berita tersebut beralamat URL www.malaysiakini.com.

Malaysiakini telah menggunakan tanpa izin dan memanipulasikan gambar saya sebagai penampal pelekat berwajah Perdana Menteri di atas paket bantuan beras. Berikut adalah fakta sebenar dan kenyataan yang menyatakan kebenaran mengenai isu ini.

2. Sebagai Naib Pengerusi Briged Kesatria Muda Malaysia, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk mengatur, memindah, mengasingkan dan menghantar bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara. Gambar yang dimanipulasikan oleh Malaysiakini adalah gambar saya selaku SUKARELAWAN Briged Kesatria Muda, bukan  seorang "pekerja" seperti yang didakwa portal berkenaan. Rujuk sukarelawan dan NGO yang lain sebagai pengesahan kerja-kerja sukarelawan yang telah saya jalankan.

3. Briged Kesatria Muda adalah biro yang ditubuhkan untuk menggerakkan misi kemanusiaan. Kami telah pun merancang & melakukan kerja-kerja bantuan kemanusiaan di mana 3000 kampit beras pertama telah disediakan lebih awal oleh MOA melalui satu majlis rasmi pada 17/12/2014 di Putrajaya. Pengedaran aktif oleh Briged Kesatria Muda juga dilakukan sebelum berlakunya banjir besar di Pantai Timur.

4. Briged Kesatria Muda tidak terikat dengan MOA semata-mata. Kami turut mengumpul dan mengedar bantuan dari kumpulan NGO-NGO dan Kementerian lain. Adalah perlu kami meletakkan penanda agar ia tidak bercampur dan memudahkan urusan logistik dan penghantaran.

5. Bantuan makanan daripada MOA sebenarnya tidak mempunyai penanda berwajah YAB PM seperti mana yang didakwa. Hanya sebanyak100 keping penanda yang dicetak dan ditampal untuk membezakan bantuan dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dari bantuan-bantuan daripada pihak lain yang turut membantu membekalkan barangan makanan kepada mangsa banjir.

6. Banyak gambar yang dirakam dalam operasi penyerahan bantuan ini membuktikan bahawa tiada pelekat berwajah PM dilekatkan di atas bantuan-bantuan yang disampaikan oleh kementerian ini. Para
sukarelawan Kementerian Pertanian dan aktivis-aktivis NGO yang terlibat juga boleh mengesahkan bahawa tiada pelekat bergambar PM di atas bantuan-bantuan yang diserahkan.

7. Pihak Briged Kesatria Muda menganggap
laporan berita yang dibuat oleh Malaysiakini adalah palsu dan berniat jahat. Laporan berita dan perbuatan memanipulasi gambar saya oleh Malaysiakini juga telah mengakibatkan persepsi negatif, salah tanggap dan tuduhan-tuduhan tidak baik terhadap saya dan   Briged Kesatria Muda. Perbuatan ini tidak boleh dimaafkan sama sekali dan tindakan wajar diambil terhadap Malaysiakini yang tidak bertanggung jawab ini.

8. Briged Kesatria Muda akan membuat laporan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta berhasrat untuk menyaman Malaysiakini bagi membersihkan nama baik Briged Kesatria Muda.

9. Kami juga akan membuat laporan polis terhadap blogger yang bernama Syed yang telah memanipulasi gambar saya dengan kenyataan fitnah dan berniat jahat serta laporan polis terhadap Malaysiakini yang menulis dan menyebar kenyataan untuk memburukkan kami serta Kementerian Pertanian dan Industri Asaa Tani.

10. Briged Kesatria Muda juga ingin mencadangkan agar Menteri dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani turut menyaman Malaysiakini yang jelas telah memfitnah dalam cubaan untuk menghasut pemikiran rakyat untuk membenci kerajaan di media sosial.

11. Sekian kenyataan saya untuk makluman tuan/puan.

TAMAT

Tiada ulasan: