Sabtu, 19 Mei 2012

MASYARAKAT INDIA TOLAK HIMPUNAN HARAM YANG MEMBAWA KEMUSNAHAN HARTA BENDA AWAM

Kesedaran mengenai hakikat bahawa perhimpunan atau demonstrasi bukan jawapan atau jalan penyelesaian bagi sesuatu masalah mahupun tuntutan mungkin menjadi pendorong kepada masyarakat India untuk menolak perhimpunan yang bertukar menjadi rusuhan pada 28 April lepas.

Selain faktor agama yang melarang menyertai perhimpunan yang boleh mencetuskan keganasan dan merosakkan harta benda awam, mereka mungkin faham akan hak bersuara mengikut saluran yang betul tanpa perlu menjejaskan keamanan negara dan mencemarkan imej negara.

Mungkin atas kesedaran itulah perhimpunan anjuran badan bukan kerajaan yang disokong pembangkang di ibu negara 28 April itu gagal menarik penyertaan masyarakat India, demikian menurut kalangan masyarakat India termasuk beberapa persatuan kaum India dan agama Hindu.

Presiden Malaysia Hindu Dharma Prof Dr N.S Rajendran berpendapat masyarakat India faham bahawa mereka mempunyai hak untuk bersuara tetapi perbuatan mereka tidak seharusnya berasaskan emosi atau keganasan, apatah lagi jika diapi-apikan oleh pihak berkepentingan politik.

"Perhimpunan seperti itu tidak digalakkan di dalam mana-mana agama termasuk Hindu. Jika ada sesuatu yang ingin dituntut, sebenarnya perlu melalui semua langkah-langkah aman untuk berbincang secara damai," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurutnya, agama Hindu tidak menggalakkan sebarang tindak tanduk keganasan apatah lagi yang boleh mengancam nyawa, menimbulkan kekecohan dan kerosakan harta benda awam.

"Mengapa kita perlu melalui jalan keganasan terutamanya bagi golongan muda? Golongan ini adakalanya terlalu mengikut perasaan dan emosi tetapi saya rasa kini mereka mulai sedar bahawa cara ini tidak dapat memenuhi kehendak mereka dan menjadi sia-sia, malah merugikan," katanya.

Kenyataan itu turut disokong Presiden Hindu Sangam R.S Mohan Shan yang menegaskan perhimpunan atau demonstrasi hanya boleh diadakan dengan syarat ianya dijalankan secara aman serta menghormati setiap umat manusia, malah haiwan sekalipun dan tidak boleh menyusahkan orang lain.

Sesuatu perhimpunan itu hanya akan dihormati majoriti rakyat apabila ia mempunyai sebab yang wajar dan bukannya untuk mewujudkan kacau-bilau mahupun dimanipulasi pihak lain, katanya.

Selain itu, beliau juga berharap tiada pihak yang cuba mengaitkan sentimental keagamaan ke dalam isu politik yang akan lebih memburukkan lagi keadaaan.

Perunding kanan perhubungan awam Nevash Nair, 26, berkata pemuda zaman sekarang perlu berfikir wajar sebelum melibatkan diri dalam mana-mana perhimpunan atau demonstrasi.

"Saya mempunyai sebilangan kawan yang pro dan anti kumpulan yang menamakan diri mereka Bersih 3.0 itu. Saya berbual dengan mereka dan mendapatkan pelbagai pandangan...saya dengar apa yang mereka katakan dan saya membuat kesimpulan sendiri," katanya yang percaya sesetengah pihak menggunakan Bersih untuk kepentingan politik mereka sendiri.

Justeru kedegilan pihak penganjur perhimpunan menerima tawaran kerajaan untuk mengadakan perhimpunan di stadium bagi memastikan keadaan terkawal, masyarakat India kini dikatakan telah sedar dan tidak lagi memilih untuk bersama pembangkang. Ini ditambah dengan hakikat bahawa sebahagian besar permintaan mereka telah dilayan oleh kerajaan.

Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) baru-baru ini dalam satu kenyataan berkata perhimpunan kali ini membuktikan dengan jelas bahawa masyarakat India sudah meninggalkan pembangkang dan kembali menyokong kerajaan.

Kenyataan itu mendakwa hanya segelintir daripada peserta perhimpunan yang bertukar menjadi kerusuhan itu adalah daripada kaum India dan ini secara tidak langsung memberi amaran 'gelombang bahaya' untuk pakatan pembangkang.

"Apa yang pakatan mahu ialah undi kaum India tetapi kebajikan dan kesejahteraan tidak dijaga seperti yang dijanjikan selepas mendapat undi kaum India pada pilihan raya 2008, mereka dibuang seperti lampin pakai buang," menurut kenyataan itu.

Perhimpunan itu terbukti bukan sahaja tidak menjanjikan kebajikan masyarakat India malah memberi impak negatif kepada majoriti perniagaan komuniti itu.

Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia Datuk K.K Eswaran dalam sebuah akhbar tempatan baru-baru ini berkata para peniaga India mengalami kerugian besar berikutan perhimpunan itu.

Katanya, kedai-kedai di sekitar kawasan Jalan Tuanku Abdul Rahman terpaksa ditutup bagi mengelakkan kerosakan oleh penunjuk perasaan, manakala 13 cawangan negeri dan 14 organisasi perdagangan merasakan bahawa perhimpunan itu mempunyai kesan negatif ke atas perniagaan.

Golongan ibu bapa juga berpendapat perhimpunan seumpama itu lebih memudaratkan apabila golongan belia dan pelajar pusat pengajian tinggi dimanipulasi untuk kepentingan pihak tertentu.

"Saya tidak ingin melihat anak-anak saya menyertai perhimpunan haram seperti itu, tidak kiralah perhimpunan itu ada matlamat yang wajar atau sebaliknya. Apa salahnya kalau kita memperjuangkan hak kita secara aman?," kata S.Vikneswaran, 40, dari Kajang.

Bapa kepada tiga anak lelaki itu berkata penglibatan golongan muda akan memberikan impak negatif atau titik hitam dalam hidup mereka kalau ditahan oleh pihak polis.

Tiada ulasan: