Khamis, 5 November 2015

FGV TERUS HARUMKAN NAMA NEGARA #supportfgv

LOMBOK 4 Nov. – Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV), berjaya menaikkan imej Malaysia di Lombok, Indonesia kerana menawarkan ribuan peluang pekerjaan di ladang-ladang sawit miliknya kepada penduduk dari kepulauan tersebut.

Ahli Dewan Perwakilan Rak­yat Nusa Tenggara Barat (NTB), Muhammad Nur Said Kasdiono berkata, ini bertepatan dengan agenda nasional Indonesia yang mahu meningkatkan kadar guna tenaga rakyatnya di pasaran kerja negara asing, memandangkan peluang pekerjaan peringkat domestik yang terhad.

Katanya, apa yang lebih menaikkan jenama FGV dan imej Malaysia adalah kerana tidak me­ngenakan syarat-syarat kemasukan kerja yang ketat seperti kela­yakan pendidikan dan pada masa sama tetap menjaga kebajikan pekerja-pekerja ladang termasuk dari Indonesia.

"FGV telah mengangkat ma­ruah kerajaan dan negara Malaysia di NTB (Lombok). Mereka memberi contoh bagaimana sebuah sistem pekerjaan yang baik. Saya melihat penduduk Lombok meng­anggap FGV atau Felda sebagai majikan utama.

"Kami selesa dengan FGV. Lombok terkenal sebagai pusat pelancongan utama di Indonesia dan sedia menerima jika FGV mahu terokai pelaburan di dalam pelbagai bidang yang lain di sini," katanya kelmarin sempena penyerahan wang ihsan kepada keluarga pekerja-pekerja ladang FGV dari Lombok yang bekerja di ladang FGV di Malaysia.

Turut hadir ialah Naib Presiden Eksekutif, Ketua Global Kluster Getah dan Ketua Kluster Sawit Huluan FGV, Datuk Abd. Halim Hamid dan Pengurus Besar Tenaga Kerja Lapangan Felda Global Ventures Plantations (M) Sdn. Bhd., Md. Amin Salleh.

Program pemberian wang ihsan itu telah dilaksanakan sejak empat tahun dan ia diberikan sekali sahaja kepada keluarga-keluarga pekerja, sebagai menghargai pekerja-pekerja yang memberi komitmen untuk terus berkhidmat dengan FGV. Jumlah wang yang diberikan ialah 500,000 rupiah (RM158) untuk setiap keluarga.

FGV memiliki kira-kira 30,000 pekerja asing yang berkhidmat di ladang-ladang sawit dengan 15,000 daripadanya berasal dari Lombok. – UTUSAN


Tiada ulasan: