Ahad, 30 September 2012

BAJET 2013 SEIMBANG KATA PEHIN SERI KM SARAWAK

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud menyifatkan Belanjawan 2013 sebagai seimbang dengan mengambil perhatian dan kepentingan semua lapisan masyarakat.

Beliau berkata Belanjawan itu turut melibatkan golongan yang kurang mendapat perhatian kerajaan sebelum ini khasnya generasi baru dan muda selain masyarakat perniagaan, sejajar dengan perubahan dalam negara.

Belanjawan kali ini bukan sahaja memberi banyak manfaat kepada rakyat malah juga golongan usahawan serta korporat melalui beberapa inisiatif baharu, katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Hari Jantung Sedunia di Taman Sahabat di Kuching, hari ini.

Taib berkata beliau turut mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan kerana berjaya membentangkan Belanjawan yang selari dengan keperluan rakyat hari ini.

Sementara, ketika berucap pada majlis itu, Taib yang berkongsi amalannya setiap hari iaitu berjalan kaki untuk kekal sihat dan cergas, berkata gaya hidup sihat perlu dijadikan amalan masyarakat hari ini khasnya generasi muda.

"Hari ini saya lihat anak muda hanya banyak mengerakkan hujung jari mereka, jadi mula hari ini kita boleh mulakan amalan dengan berjalan kaki setiap hari untuk kekal cergas," katanya.

Kira-kira 2,000 orang menyertai program Hari Jantung Sedunia itu yang turut melibatkan acara berjalan kaki mengelilingi Taman Sahabat bersama ketua menteri dan isteri.

Bernama

Tiada ulasan: