Selasa, 19 November 2013

SUAMI DALAM DAKAPAN WALAUPUN DISAHKAN MATI


HULU BERNAM - Akibat tidak dapat menerima hakikat suaminya telah meninggal dunia, seorang wanita sanggup memangku mayat suaminya walaupun pegawai perubatan telah mengesahkan mangsa meninggal dunia beberapa jam lalu akibat kemalangan.

Kedua-dua mangsa terlibat dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 401.7 Lebuhraya Utara Selatan arah Kuala Lumpur, 500 meter selepas susur masuk Plaza Tol Tanjung Malim kira-kira jam 1.15 petang, semalam.

Mangsa, Foo (bukan nama sebenar), 36, maut di tempat kejadian manakala isterinya, Thanh Giang (bukan nama sebenar) berusia 20-an yang merupakan warga Vietnam cedera akibat tersepit.

Menurut maklumat orang awam, kenderaan Toyota Estima Aeras dinaiki mangsa dipercayai terbabas sendiri lalu melanggar besi pembahagi lebuh raya sebelum terbalik di lorong kiri.

Pemandunya tercampak keluar manakala penumpangnya tersepit di tempat duduk penumpang namun berjaya keluar dengan bantuan orang awam.

Seorang pekerja kereta tunda yang hanya mahu dikenali sebagai Rush, 28, berkata, dia bersama orang awam yang tiba di tempat kejadian berusaha mengangkat kereta mangsa bagi membantu penumpang di tempat duduk hadapan keluar.

"Tapi masa kami sampai, lelaki itu (pemandu) sudah ada di situ (di bahu jalan) mungkin dia tercampak keluar masa kereta berpusing," katanya.

Menurutnya, masalah tayar dipercayai punca kemalangan itu berlaku kerana tayar belakang sebelah kiri kereta mangsa hanya menggunakan tayar simpanan dan bersaiz kecil.

Katanya, berkemungkinan kereta dipandu laju ketika melalui kawasan itu yang sedikit berselekoh menyebabkannya terbabas.

"Kalau tengok keempat-empat tayar semunya jenama lain dan mungkin sudah banyak kali pecah," katanya.

Isteri mangsa mengandung

Sementara itu, Thanh Giang berkata, ketika kejadian mereka dalam perjalanan dari Parit Buntar, Perak ke tempat kerja suaminya di Kuala Lumpur.

Dia yang hanya fasih berbahasa Cina berkata, dia tidak tahu bagaimana kejadian itu berlaku dan hanya sedar apabila kenderaan dinaiki terbalik.

"Lepas keluar dari kereta saya terus pergi dekat suami tapi dia sudah tidak bergerak," katanya yang kelihatan trauma.

Sinar Harian cuba bertanya mengenai beberapa laporan perubatan dan ujian darah yang ditemui bersepah di atas jalan dan menurut wanita itu dia sedang mengandung, namun usia kandungannya tidak dijelaskan.

Polis jumpa serbuk dadah

Dalam pada itu, polis turut menemui bungkusan dadah dalam lipatan tisu basah dipercayai syabu yang diletakkan dalam beg tangan Thanh Giang.

Pemeriksaan lanjut pada bonet kenderaan terbabit turut menemui beberapa kotak dan botol minuman keras berjenama dimuatkan dalam beg.

Mangsa yang hanya mengalami luka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor manakala mayat suaminya dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat.

Sumber : SINARHARIAN


Sent from Samsung Mobile