Jumaat, 29 November 2013

APA ALASAN KERAJAAN SELANGOR DALAM ISU NAIK GAJI

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor perlu memberi alasan kukuh berhubung kenaikan gaji kesemua 56 anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) yang berkuat kuasa 1 Januari depan kerana jumlah kemasukan pelaburan di negeri itu merosot bagi tujuh bulan pertama tahun ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata kaedah dan pengiraan kenaikan yang dilihat mendadak perlu diperjelaskan malah kerajaan negeri tadbiran Pakatan Rakyat (PR) itu tidak sesuai menggunakan formula 75 peratus kenaikan kadar gaji seperti dilakukan Sarawak.

Noh berkata kerajaan negeri Sarawak bebas menaikkan kadar gaji mereka kerana menurut laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) bagi Januari hingga Julai tahun ini, Sarawak berada di tangga kedua tertinggi kemasukan pelabur berbanding Selangor, di tangga kelima.

"Bab gaji naik ni siapa tak sokong, tiada orang tak sokong kerana ia pemberi semangat kepada wakil rakyat untuk terus berbakti namun, kita kena ukur baju pada badan sendiri, gaji naik 100 peratus tetapi mengikut perangkaan Mida, Selangor merudum ke tangga kelima kemasukan pelabur dan saya difahamkan ini sejarah paling teruk.

"Saya mahu tunggu sehingga hujung tahun ini dan saya nak minta menteri besar bentangkan berapa pelaburan diterima Selangor... pelaburan merudum, gaji menteri besar naik kenapa sedangkan agenda PR adalah demi kepentingan rakyat," katanya kepada pemberita, di sini Khamis.

Noh pada masa sama turut mencabar Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk membantu menaik taraf golongan pendakwah di negeri itu yang kini menerima gaji di bawah paras kemiskinan negeri iaitu RM1,500.

"Guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa), guru takmir dan imam di Selangor kini berpendapatan kurang daripada paras kemiskinan... contohnya, guru kafa mendapat gaji bulanan RM1,300 sebab kerajaan pusat salurkan RM800, dan selebihnya kerajaan negeri.

"Apa salahnya jika kerajaan negeri beri sama banyak maka mereka boleh keluar daripada garis kemiskinan itu dan perkara yang sama juga dengan guru takmir dan imam... mereka masih belum dapat pembelaan sepatutnya sepertimana yang kerajaan negeri canang sebelum ini," katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai kenaikan gaji sepatutnya juga melibatkan penjawat awam negeri, ketua pembangkang negeri, Datuk Mohd Shamsudin Lias berkata pihaknya akan terus memperjuang perkara tersebut kerana penjawat awam adalah tonggak kecekapan pentadbiran negeri.

Mohd Shamsudin berkata walaupun Abdul Khalid mengumumkan bonus setengah bulan gaji kepada penjawat awam negeri semalam, namun kadar kenaikan gaji perlu juga diberi perhatian terutamanya golongan pendakwah dan pihaknya akan cuba mengusulkan perkara tersebut dalam persidangan DUN yang akan berakhir Isnin depan.

- BERNAMA


Sent from Samsung Mobile

Tiada ulasan: