Rabu, 6 November 2013

BOM JANGKA CAMERON HIGHLAND

Cameron Highlands: Pengaliran air turut membawa bersama sampah sarap dan mendapan menyebabkan tahap kebolehtakungan air di Tasik Ringlet berkurangan dengan ketara berikutan kadar sedimentasi yang tinggi.

Keadaan ini menyebabkan tasik buatan manusia, yang menakung air untuk menjana elektrik di Stesen Janaelektrik Sultan Yussuf, bagaikan bom jangka yang boleh meledak memusnahkan kehidupan, alam sekitar dan harta benda kerana ia sudah tidak mampu lagi menakung air seperti kapasiti asalnya.

Pengurus Besar Stesen-stesen Janaelektrik Cameron Highlands, Bahagian Penjanaan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Mustafa Hashim, berkata perkara itu dibincangkan bersama dengan agensi berkaitan dan risiko berlakunya limpahan air dari Empangan Sultan Abu Bakar boleh terjadi pada bila-bila masa.

"Selain itu, risiko juga besar bila skrin alur masuk ke terowong Stesen Janaelektrik Sultan Yussuf tersumbat akibat longgokan sampah yang terlalu banyak seperti sisa tanaman, plastik dan tali antaranya," kata Mustafa, yang bertugas di sini, sejak 2011.

Air yang mesti mengalir melalui skrin alur masuk setinggi enam meter dan lebar 12 meter sebelum ke terowong Bertam ke Stesen Janaelektrik Sultan Yussuf di Batu 17, Jalan Pahang di Tapah, ada kalanya tersekat, sekaligus, menghalang penyaluran air tasik ke terowong untuk menghidupkan unit penjanaan.

Katanya, usaha pembersihan sampah di skrin alur masuk sering dilakukan tetapi hasil yang diperoleh tidak 100 peratus berjaya, ditambah pula dengan kos pembersihan yang tinggi.

Satu daripada cara pembersihan ialah 'raking' iaitu sistem pembersihan secara manual untuk menarik sampah daripada kawasan skrin alur masuk ke terowong apabila pihak stesen mendapati paras air yang melalui skrin menurun.

Apabila keadaan tersumbat itu menjadi semakin serius, khidmat penyelam berpengalaman diperlukan bagi menarik sampah secara manual. Kebiasaanya pembersihan skrin alur dilakukan selepas unit-unit generator tidak beroperasi pada waktu malam.

"Pengawasan skrin alur dilakukan 24 jam di bilik kawalan di Stesen Janaelektrik Sultan Yussuf di Batu 19. Paras air tasik dan skrin alur masuk dipantau petugas mengikut giliran pada setiap masa," katanya.
Selain itu, Mustafa berkata pengorekan pasir, selut dan sampah dilakukan di tiga lokasi utama iaitu di hadapan skrin alur masuk Bertam, di muara Sungai Ringlet dan muara Sungai Habu dengan Sungai Bertam.

Bina empangan kecil
Empangan kecil dan empang limpah dibina untuk menyekat mendapan dan pasir daripada memasuki tasik. Hasil pengorekan mendapan di empangan kecil dan empang limpah itu dibawa ke tempat pelupusan tetap mendapan di Sungai Jasin, tidak jauh dari kawasan tasik.

Dalam tempoh lima tahun lalu, TNB membelanjakan RM180 juta untuk kos pengorekan utama mendapan kelodak Tasik Ringlet. Sejumlah RM20 juta lagi dibelanjakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan tahunan.

Keadaan sungai nazak
Tinjauan BERNAMA mendapati kerja pengorekan pasir dari dalam sungai dijalankan dan timbunannya yang membukit di tebing sungai membuktikan keadaan sungai sememangnya sudah nazak; dicemari mendapan selain warnanya menjadi sangat keruh.

Sebenarnya, jalur tanah yang bersebelahan dengan kedua-dua tebing sungai sudah diwartakan sebagai tanah rizab sungai, seperti termaktub menurut Seksyen 62 Kanun Tanah Negara.

Jaluran tanah dirizabkan itu bertindak sebagai penampan di antara sungai dan tanah bersebelahan, bertujuan melindungi sungai daripada aktiviti tidak diingini yang boleh menjejaskan fungsi sungai.

Keluasan jaluran tanah rizab bergantung kepada kelebaran sungai yang mengalir di tengah-tengahnya.

Tanah rizab sungai itu tidak sepatutnya diduduki mahupun dibina struktur sementara atau kekal, dan ditanam dengan tanaman untuk memastikan keselamatan manusia terjamin terutamanya bila hakisan sungai dan musibah banjir melanda.

Namun, realiti di kawasan berkenaan berbeza keadaannya kerana tebing sungai sebelum kejadian banjir lumpur di Lembah Bertam kerana wujud aktiviti menanam sayur dan penempatan manusia di sekitarnya.

Air Sungai Bertam yang mengalir ke dalam Tasik Ringlet sepanjang lebih 25 kilometer dari hulu ke hilir sungai dan didapati lebih enam kilometer tanah bersebelahan sungai itu berpenghuni dan terdapat aktiviti manusia.

"Air sungai di sini penuh dengan bahan yang mencemari kejernihannya dan saya rasa hanya 30 peratus kandungan sungai itu air.

"Selebihnya mendapan kelodak dan pasir. Itu sebabnya warna air sungai dan keadaannya tidak dapat dikelaskan seperti sungai lain di negara ini," kata seorang lelaki yang bekerja tidak jauh dari Habu.

Pada malam kejadian paras air di empangan didapati hanya kurang satu meter daripada paras maksimum dan sekiranya air mencecah paras maksimum empangan, pasti ia membawa risiko lebih besar.

Menyedari masalah banjir yang boleh membawa banyak kesan buruk kepada kehidupan dan harta benda, kerajaan bertindak pantas bagi mengatasi masalah seumpamanya berulang.

Kerajaan dalam Bajet 2014, yang dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 25 Oktober lalu, meluluskan peruntukan RM40 juta bagi melebarkan dan mendalamkan Sungai Bertam. - BERNAMA


Sent from Samsung Mobile

Tiada ulasan: