Selasa, 16 Oktober 2012

ULAMA PAS PERLU BERANI

Tokoh-tokoh ulama dalam Pas digesa agar berani bersuara untuk mendesak parti itu keluar daripada pakatan pembangkang supaya tidak terus disesatkan serta diperkudakan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin berkata, dalam banyak isu berkaitan akidah termasuk penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian, Pas sanggup mengetepikan kepentingan agama semata-mata kerana mahu berkuasa.

Beliau yang juga Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berkata, sama seperti bapa saudara Nabi Muhammad SAW, ulama-ulama Pas sanggup menolak kebenaran hanya kerana takut dicemuh dan hilang jawatan.

Kita minta ulama-ulama dalam Pas seperti Timbalan Mursyidul Amnya, Datuk Haron Din; bekas Timbalan Presidennya, Nasharudin Mat Isa dan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib untuk membawa Pas keluar daripada pakatan pembangkang.

Sasterawan Negara, Prof. Emeritus Datuk Dr. Shahnon Ahmad juga kata Pas sudah tersasar daripada perjuangan asalnya kerana parti itu ditubuhkan sebab hendak buat negara Islam dan hudud," katanya semasa berceramah di hadapan lebih 3,000 orang pada program Rapat Umum Perkasa Perak di padang Dewan Datuk Ahmad Said, Kampung Sungai Rokam, di sini malam tadi.

Selain Zulkifli, Mursyidul Am Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip yang juga bekas Naib Ketua Angkatan Muda PKR turut berceramah dalam program itu.

Zulkifli juga berkata, orang Melayu tidak boleh bergantung harap kepada Pas untuk membela Islam dan kepentingan Melayu kerana parti itu bukan dominan di dalam pakatan pembangkang.

Katanya, ia boleh dilihat apabila Kerajaan Pas Kedah terpaksa membatalkan hasrat merobohkan sebuah rumah penyembelihan babi di sebuah kampung Melayu hanya kerana desakan daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP.

Kalau betul Pas dominan, tidak akan berlaku apa yang terjadi kepada bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Hasan Ali yang dipecat kerana hendak selamatkan akidah umat Islam," ujarnya.

Dalam ceramah tersebut, beliau turut mendedahkan pelbagai pembohongan yang dilakukan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana kemaruk untuk menjadi Perdana Menteri.

Beliau juga memberitahu, DAP semakin lantang berani mempersoalkan kedudukan agama Islam dan orang Melayu di negara ini kerana mendapat sokongan daripada Anwar dan golongan Anwarinas di dalam Pas.

Sementara itu, pada sidang akhbar selepas program itu, Zulkifli memberitahu, beliau mendapat maklumat akan berlaku satu kejutan tidak lama lagi.

Tiada ulasan: