Isnin, 16 Februari 2015

JEFFREY KITINGAN JANGAN HASUT RAKYAT SABAH KATA RAHMAN DAHLAN

YB Datuk Dr Jeffrey Kitingan selalu membuat kenyataan menghasut rakyat Sabah untuk tolak parti UMNO. Katanya UMNO adalah parti luar yang mahu "menjajah" Sabah. Oleh kerana itulah menurut Dr Jeffrey UMNO tidak perlu berada di Sabah.


Saya ingin berkongsi 10 pendapat saya mengenai isu ini bagi menjawab hujah Dr Jeffrey.

1) Setiap parti politik berhak menawarkan diri di mana-mana jua asalkan kehadiran mereka mengikut undang-undang. Tidak ada undang-undang yang menyekat mana-mana parti politik untuk datang dan berkhidmat di negeri Sabah.

2) Sejak kehadiran UMNO di negeri Sabah, tidak dapat dinafikan bumiputera Islam di negeri Sabah nampaknya lebih bersatu. Kita bersyukur kerana kesatuan ini telah menjadi pendorong kepada kestabilan politik negeri Sabah. Dengan kestabilan politik ini, semua pihak boleh menumpukan fokus, masa dan tenaga kepada pembangunan negeri Sabah dan tidak perlu berpolitik 24 jam.

3) Sejak kehadiran UMNO di negeri Sabah, ekonomi Sabah ternyata lebih rancak pembangunannya. Keserasian kerajaan negeri dan kerajaan pusat telah menjadi pemangkin kepada pembangunan ini. Ini adalah fakta yang tidak boleh disangkal.

4) Sejak kehadiran UMNO di negeri Sabah, buat pertama kalinya dalam sejarah negeri Sabah, orang Sabah mempunyai peranan dan pengaruh dalam menentukan siapa yang menjadi Presiden UMNO yang juga bakal menjadi Perdana Menteri. Selama ini orang Sabah hanya mengikut dan akur pada calon yang menjadi pilihan orang Melayu di semenanjung. Dengan kekuatan keahlian kedua terbesar dalam negara (selepas Johor), mana-mana individu yang berminat menjadi presiden UMNO (Perdana Menteri Malaysia) tidak akan melupakan Sabah kerana Sabah mempunyai 25 bahagian yang perlu didekati dan diselami kehendak mereka.

5) Dr Jeffrey harus ingat bahawa kedatangan UMNO ke negeri Sabah sebelum ini adalah sebahagiannya disebabkan oleh parti beliau iaitu parti PBS yang telah membuat keputusan drastik untuk keluar dari BN setelah hari penamaan calon berlangsung. Malah ramai yang mengatakan Dr Jeffrey sendiri yang terlibat dalam keputusan PBS untuk keluar dari BN. Kenapa Dr Jeffrey tidak salahkan diri sendiri?

6) Dr Jeffrey gemar memberi alasan bahawa parti UMNO perlu ditolak kerana katanya parti UMNO adalah parti luar dan parti luar tidak perlu ada di Sabah. Persoalannya, kenapa Dr Jeffrey memilih parti STAR yang berasal dari Sarawak untuk menjadi parti tempat dia bernaung? Bukan kah parti STAR juga adalah parti luar?

7) Orang Sabah terutamanya bumiputera Islam tidak pernah dipaksa untuk menyokong parti UMNO. Tidak ada orang yang meletakkan pistol dikepala mereka untuk menjadi ahli UMNO. Hakikatnya mereka menjadi ahli UMNO atas kerelaan mereka sendiri kerana mereka merasakan parti UMNOlah yang boleh dijadikan landasan perjuangan mereka. Sekarang jumlah ahli UMNO Sabah hampir mencecah setengah juta orang.

8) Untuk makluman Dr Jeffrey, ramai orang Sabah di kalangan bumiputera bukan Islam yang menjadi ahli UMNO. Hampir 20% dari ahli UMNO Sabah adalah bumiputera bukan Islam. Malah mereka ini berupaya menjadi pemimpin dalam parti UMNO walaupun mereka bukan Islam. Ada yang menjadi Ketua UMNO Bahagian dan ada yang menjadi ADUN dan MP mewakili UMNO.

9) Semua pemimpin UMNO negeri Sabah adalah anak tempatan. Tidak ada Ketua UMNO Bahagian, ADUN atau MP UMNO Sabah yang datang dari semenanjung. Mereka ini sentiasa perihatin terhadap kepentingan negeri dan rakyat Sabah.

10) Dr Jeffrey tak perlu risau, kalau UMNO tidak lagi relevan dan tidak lagi dirasai oleh rakyat, UMNO bakal ditolak oleh rakyat Sabah. Tak perlu Dr Jeffrey menjadi batu api. Persoalannya kenapa parti UMNO di Sabah semakin kuat dan semakin mendapat tempat di hati rakyat Sabah. Jawapannya mudah. Rakyat dapat melihat keikhlasan parti ini. Rakyat merasai perjuangan UMNO. Pemimpin-pemimpin UMNO turun padang setiap hari dan sepanjang masa. Ratusan program yang melibatkan ribuan orang diadakan setiap bulan. Mereka berjumpa rakyat, bertanya khabar, membantu dan berkhidmat tak kira panas dan hujan. Mereka berada di mana-mana. Mereka hadir di majlis kahwin, tempat orang meninggal, kenduri arwah, program gotong royong, majlis keagamaan, di mesyuarat pembangunan daerah, di masjid, di gereja, di bendang dan di ladang serta dibandar.

Jadi dipendekkan kata, kehadiran UMNO di Sabah adalah kerana rakyat Sabah yang mahukan parti itu ada di Sabah. Mereka menerima UMNO dengan rela hati dan bukannya dipaksa atau terpaksa.

Lagi pun siapa Dr Jeffrey yang ingin menentukan kehendak orang Sabah dalam memilih parti mereka? Bukankah dengan cara itu Dr Jeffreylah yang sebenarnya yang ingin menjajah? Sekarang-kurangnya ingin menjajah mentaliti dan minda rakyat Sabah supaya tidak dapat berfikir dan membuat keputusan mereka sendiri?




Tiada ulasan: