Isnin, 16 April 2012

TUN MAHATHIR TELANJANGKAN ANWAR IBRAHIM



Skim pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diluluskan semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim masih di dalam kerajaan, jelas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Dr Mahathir turut mengingatkan ketua pembangkang itu bahawa skim berkenaan diluluskan semasa Anwar memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, sambil menambah tidak ada bantahan terhadap skim itu pada masa itu.

“Itulah Anwar ... dia sendiri tidak tahu apa yang dia fikir, dia pelupa,” katanya dipetik Bernama.
Pemimpin berpengaruh itu menegaskan Malaysia tidak mungkin akan memberikan pendidikan tinggi percuma sebagaimana cadangan “negara membangun lain”.

“Kita boleh mansuh PTPTN, hanya kepada mereka yang mahukannya. Biar mereka yang tidak mahu PTPTN dimansuhkan, kita (terus) beri mereka,” katanya dalam satu majlis di Sintok.

Dr Mahathir menegaskan kerajaan sentiasa komited terhadap mengukuhkan taraf pendidikan negara, dan dengan itu, lebih 25 peratus daripada belanjawan tahunan negara digunakan untuk sektor pendidikan.

Pembangkang telah mempromosikan pendidikan percuma dan mendesak agar PTPTN dimansuhkan, sambil menegas bahawa kerajaan mampu membiayai pendidikan percuma menggunakan keuntungan jualan minyak serta melalui pengurangan kadar rasuah dan ketirisan dalam pentadbiran.

Pakar strategi Pakatan Rakyat (PR) berkata kepada pemberita bahawa mereka akan bertemu pada minggu hadapan untuk menyelaraskan polisi pendidikan percuma untuk pengajian tinggi dan berharap akan berjaya memenangi hati pengundi Melayu berumur lingkungan 20an, yang mana merupakan satu per enam daripada populasi pengundi.

Pertemuan itu berlangsung sebelum perbahasan antara Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pada 3 Mei sama ada PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) harus dihentikan.

Ketua Umum PKR Anwar telah mengumumkan rancangan untuk memansuhkan PTPTN yang dikata telah membebankan ramai graduan dengan hutang walaupun belum lagi bekerja.

Rafizi turut menjelaskan parti itu sudah mengedarkan risalah berkenaan pendidikan tinggi untuk pemimpinnya.

Ketika demonstrasi di Dataran Merdeka semalam, kira-kira 500 aktivis pelajar menuntut pendidikan percuma. Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Chua Tian Chang yang turut berhimpun menegaskan bahawa “pendidikan percuma hak semua”.

Namun cabaran yang bakal dihadapi pembangkang adalah untuk memajukan topik ini dari tumpuan kepada menghapuskan PTPTN, yang mana Barisan Nasional (BN) telah menangkis dengan cepat bahawa sejumlah RM43 bilion diperlukan untuk memansuhkan PTPTN dan tindakan itu akan memufliskan negara. Rafizi ketika sesi meja bulat telah menjelaskan bagaimana RM6.1 bilion diedarkan melalui PTPTN tahun lalu, amaun yang boleh juga digunakan untuk membiayai tambahan 100,000 tempat di universiti awam dan ada 372,000 tempat.

Berkata kepada pemberita, beliau menegaskan kerajaan juga gagal mengumpul semula pinjaman PTPTN dan hanya mengutip sebanyak RM2.8 bilion sejak skim tersebut diwujudkan 15 tahun lalu, ataupun kira-kira hanya 10 peratus daripada kesemua pinjaman yang diberikan.

Tiada ulasan: