Ahad, 15 April 2012

KERAJAAN PERAK TERUS MEMBERI KEMUDAHAN KEPADA RAKYAT

GAMBAR EHSAN PERAK TODAY

Kerajaan negeri mengarahkan Pejabat Tanah dan Galian membuat pembetulan semula terhadap kadar bayaran cukai pelantar ikan yang menimbulkan rasa bimbang di kalangan nelayan kerana bayaran cukai meningkat mendadak hingga mencecah puluhan ribu ringgit.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata surat rasmi berhubung arahan itu sudah dikeluarkan Isnin lalu dan pengiraan semula perlu disegerakan di bawah katogeri pelantar ikan dan bukannya jeti komersial.

“Cukai pelantar ikan di Perak yang membabitkan kawasan Pangkor, Pantai Remis, Hutan Melintang dan Kuala Kurau mengalami kenaikan mendadak hingga menimbulkan keresahan di kalangan nelayan tempatan.

“Sebelum ini, cukai yang dibayar kepada PTG antara RM600 hingga RM700 setahun tetapi apabila pelantar ikan diletakkan di bawah katogeri jeti, ia meningkat kepada RM19,000 hingga RM20,000.
“Hasil siasatan yang dijalankan, berlaku kesilapan dari segi katogeri yang mana pelantar ikan dinilai sebagai jeti komersial yang pastinya membabitkan bayaran cukai yang lebih tinggi.

“Bagi membetulkan kesilapan ini, saya mengarahkan PTG segera membetulkan semula pengiraan cukai pelantar dan kembali kepada pengiraan asal,” katanya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.
Mengulas lanjut, Zambry sehubungan itu berharap golongan nelayan yang membabitkan 90 peratus masyarakat Cina supaya tidak berasa bimbang kerana pengiraan asal akan dipraktikan semula oleh PTG.

“Sejak minggu lalu, saya menerima panggilan telefon daripada masyarakat nelayan Pangkor yang memaklumkan perkara ini hingga menimbulkan keresahan di kalangan mereka.
“Saya ingin menegaskan bahawa arahan pembetulan pengiraan cukai pelantar sudah dikeluarkan dan bayaran tidak perlu dijelaskan sehingga pembetulan dibuat dan dimaklumkan kepada mereka,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan Bungkusan 1Malaysia kepada 500 warga emas sekitar Ipoh yang disumbangkan oleh Persatuan Penganut Tao Loke Yam Fook Ying di Dewan SJKC Yuk Choy, Ipoh.

Pada majlis itu, Zambry turut mengumumkan peruntukan RM25,000 kepada persatuan itu bagi menganjurkan pelbagai program yang membabitkan penyertaan masyarakat setempat.

Tiada ulasan: