Jumaat, 12 Jun 2015

#supportFGV FGV CADANG BELI 37% KEPENTINGAN DALAM PT EAGLE HIGH PLANTATIONS DARIPADA RAJAWALI GROUP

TRANSAKSI INI MENJADIKAN FGV ANTARA SYARIKAT PERLADANGAN BERINTEGRASI TERBESAR DUNIA, MENYEDIAKAN AKSES SEGERA UNTUK TEROKAI PASARAN HILIRAN DAN PENGGUNA MELALUI RAJAWALI GROUP.


JAKARTA, 12 JUN 2015 - Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) (Bursa: FGV:MK) dan Rajawali Group hari ini telah menandatangani Perjanjian Dasar Induk (HoA) untuk mengambilalih 37% kepentingan dalam PT Eagle High Plantations (EHP) dan 93% hingga 95% kepentingan dalam projek gula Rajawali Group. Pengambilalihan 37% kepentingan EHP dijangka bernilai AS$680 juta secara tunai dan pertukaran saham.

FGV akan membayar secara tunai sebanyak AS$632 juta secara tunai untuk 30% kepentingan dan penerbitan saham baharu sebanyak 95 juta unit untuk baki 7% kepentingan (berdasarkan harga saham RM1.86 bersamaan AS$47 juta) bersamaan kira-kira 2.6% saham FGV.

 FGV juga akan mengambilalih antara 93.3% hingga 95% kepentingan dalam projek gula Rajawali Group dianggarkan bernilai AS$67 juta secara tunai. Kepentingan dalam EHB dan projek gula Rajawali Group akan dimiliki oleh FGV Kalimantan Sdn. Bhd. iaitu syarikat milik penuh FGV. Selepas pengambilalihan ini selesai, FGV akan menjadi rakan kerjasama dengan Rajawali Group dan konglomerat terkemuka di Indonesia berkenaan akan kekal sebagai pemegang saham EHB serta mengawalnya.

EHB merupakan syarikat perladangan sawit ketiga terbesar di Indonesia. Transaksi ini terikat dengan pelaksanaan syarat tertentu, keputusan bersama, memasuki perjanjian muktamad, kelulusan pemegang saham FGV dan lain-lain kelulusan perundangan.

EHP memiliki 425,000 hektar tanah dengan 67% daripadanya di Kalimantan dan selebihnya di Papua (9%), Sulawesi (19%) dan Sumatera (5%). Daripada jumlah tanah berkenaan, hanya kira-kira 137,000 hektar telah ditanam dengan profil umur 36% kurang matang, 50% muda dan 14% matang serta purata umur adalah lapan tahun. 

Rajawali Group merupakan rakan kerjasama yang kukuh di Indonesia dan transaksi ini membuka akses ke pasaran Indonesia sekali gus menawarkan potensi perolehan dan peluang jualan baharu menerusi rangkaian perhubungan Rajawali Group.

Jumlah keseluruhan 37% kepentingan dalam EHB dan kos hanya kira-kira AS$17,400 per hektar tanah, iaitu antara terendah di pasaran berdasarkan beberapa transaksi lain sebelum ini seperti di bawah.
Pengambilalihan ini akan menjadikan FGV antara syarikat perladangan minyak sawit berintegrasi terbesar dunia dengan akses ke ladang EHP dan bank tanahnya, selain menjalin kerjasama dengan rakan yang kukuh seperti Rajawali Group untuk menerokai pasaran Indonesia bagi pengedaran barangan pengguna.

Teknologi FGV, kepakaran hiliran dan pengalaman di peringkat antarabangsa akan memberi nilai tambah kepada Rajawali Group dalam usaha meningkatkan keberkesanan operasi dan mengurangkan kos menerusi transaksi ini.

Pengambilalihan ini akan menggunakan dana dalaman dan pinjaman. Maklumat lanjut akan didedahkan apabila perjanjian muktamad ditandatangani. Pelaburan dalam EHP dan pembelian Golden Land pada awal minggu ini adalah salah satu strategi pengambilalihan FGV dan ini membolehkan FGV mendapat akses kepada kira-kira 425,000 hektar ladang yang tidak terikat dengan perjanjian sewa tanah (LLA). Secara relatifnya, profil umur muda (purata 8 tahun) adalah ideal kepada FGV yang ketika ini profil umur relatifnya tua (purata 15 tahun).

Ini dapat meningkatkan hasil dalam tempoh beberapa tahun dan mengurangkan kos CAPEX yang diperlukan untuk penanaman semula. Potensi untuk menambahbaik keberkesanan kos dengan meningkatkan tanah bukan LLA dan kos operasi yang rendah di Indonesia telah menambah nilai transaksi ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Dato' Mohd Emir Mavani Abdullah berkata, "Kerjasama dengan Rajawali Group akan meningkatkan keupayaan untuk mengembangkan perniagaan sedia ada. Dengan transaksi ini, kami akan menjadi pemain terbesar dan paling kukuh dalam sektor minyak sawit dunia selain berpeluang menikmati keberkesanan kos yang lebih baik di pasaran huluan dan hiliran.

"Tiga strategi FGV yang sedang dilaksanakan ketika ini seperti meningkatkan perolehan, optimumkan kos dan keberkesanan operasi telah menampakkan hasilnya dan dalam masa yang sama kami melaksanakan transformasi untuk pulangan jangka masa panjang kepada pemegang saham.

EHB dan Rajawali Group mempunyai pasukan pengurusan yang berpengalaman luas dan sesungguhnya kami gembira dengan kerjasama strategik ini. "Sangat penting untuk dijelaskan yang pengambilalihan ini tidak akan memberi kesan kepada polisi pemberian dividen dan FGV komited untuk mengotakan janji kepada pemegang saham," jelasnya.

Pengarah Urusan Rajawali Corp, Darjoto Setyawan berkata, "Selain menambah nilai dalam keupayaan kepakaran teknikal dalam perladangan dan perahan, FGV juga membantu meningkatkan lagi tahap kami ke peringkat antarabangsa dan mengembangkan jangkauannya.

"FGV memiliki reputasi yang cukup besar dalam sektor perladangan dan perniagaan hiliran serta kami percaya yang produk FGV dan fokus mereka dalam inovasi akan sentiasa menghasilkan penyelesaian untuk pasaran huluan dan hiliran," katanya.

-sumber-


1 ulasan:

  1. Hebt ! Hebat! Pengurusan FGV... Saham dari RM4 dan tinggal seringgit lebih. Lepas nih boleh bergabung dengan Rajawali... boleh lah kalahkan 1MDB.....

    BalasPadam