Ahad, 2 Disember 2012

RAKYAT PERLU TAHU MELAYU HARUS SEDAR


7 WASIAT RAJA-RAJA MELAYU

* Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia).

* Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.

* Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta harta milik kamu, kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara.

* Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu memerintah negara ini.

* Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan.

* Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu.

* Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).
 
HAK keistimewaan orang Melayu dan kedudukan tinggi agama Islam sebenarnya mempunyai susur galur sejarah yang besar sehingga ia dibahaskan dalam Perlembagaan Persekutuan ketika negara mencapai kemerdekaan.

Keistimewaan orang Melayu sebenarnya tidak menghalang hak kaum lain atau menindas mereka. Ia bukan dalam erti kata tuan dan hamba tetapi lebih kepada penghormatan sebagai anak watan.
Toleransi yang dicapai antara kaum di antara pimpinan kaum di Malaysia. Kontrak sosial yang dicapai antara kaum sebelum merdeka sering dilupai sehingga menuntut Raja-Raja Melayu beberapa kali mengingatkan kita sejak kebelakangan ini.

Begitu juga kedudukan tinggi agama Islam tidak menindas masyarakat bukan Islam mengamalkan agama mereka. Hakikat inilah yang menzahirkan Raja-Raja Melayu menzahirkan Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu bagi menjadi panduan kepada rakyat jelata.

Dalam Perlembagaan Persekutuan, hak istimewa orang Melayu Bumiputera Sabah dan Sarawak, kedudukan istimewa Islam dan Raja-Raja Melayu terletak di tempat tinggi, sehinggakan peruntukan perlembagaan berhubung perkara ini tidak boleh dipinda walaupun mendapat sokongan dua pertiga Parlimen.

Ini disebabkan perkenan Majlis Raja-Raja diperlukan sebelum usul pindaan dibentangkan di Parlimen. Hal yang demikian menjadi benteng kepada negara daripada cubaan menganggu gugat kedudukan istimewa Islam dan Raja Raja Melayu.

Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan tidak boleh diluluskan pindaannya tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

Oleh itu, sebarang hasrat yang ingin diusulkan bagi meminda perkara tertentu mestilah terlebih dulu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja sebelum dibentang di Parlimen.

Kekuatan Perkara 159 ini bukan saja menghalang pindaan beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan tanpa terlebih dulu mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja, apatah lagi sekiranya langsung tidak menghiraukan atau melanggar peruntukan Perlembagaan berkenaan.

Perkara yang ingin dipinda ini termasuklah kedudukan agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan, kedudukan ketua agama undang-undang Islam dan juga mahkamah syariah.

Ia juga mencakupi hal ehwal berkaitan pewartaan kuota itu dengan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.

Perkara 153 juga mengisytiharkan adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agung melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain.

Begitu juga Yang di-Pertuan Agung boleh memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak jawatan dalam perkhidmatan awam dan biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain.

Malah dalam mana-mana universiti, kolej dan institusi pendidikan lain yang memberikan pendidikan selepas Sijil Pelajaran Malaysia atau setaraf dengannya, bilangan tempat ditawarkan pihak berkuasa yang bertanggungjawab bagi pengurusan universiti, kolej atau institusi pendidikan itu kepada calon bagi apa-apa kursus pengajian adalah kurang daripada bilangan calon layak mendapat tempat itu.

Ia adalah sah bagi Yang di-Pertuan Agung memberikan arahan yang perlu kepada kerajaan bagi memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak seperti difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agung; dan kerajaan hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan