Khamis, 6 September 2012

LGBT BUDAYA JAHILIAH

Gerakan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) bukan satu cara hidup moden yang melambangkan keterbukaan dan penerimaan, sebaliknya menunjukkan tamadun manusia kembali ke zaman jahiliah, kata penyelidik kanan pusat kajian syariah, undang-undang dan politik dari Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) Enizahura Abdul Aziz.

Menurutnya, perjuangan kelompok itu menolak hukum Tuhan dan mengutamakan kehendak peribadi.

Justeru, katanya, masyarakat harus memberi perhatian sewajarnya kepada penularan pemikiran berbentuk liberal ini yang mengetepikan tuntutan sebenar agama.

Enizahura menegaskan demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Memahami Kemunculan Fahaman dan Amalan LGBT: Satu Analisis Ringkas' pada Muzakarah Pakar LGBT: Cabaran dan Penyelesaian, di ibunegara semalam.

Kertas kerja itu disediakan dengan kerjasama Pengarah Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan Ikim Dr Mohd Sani Badron dan Pengarah Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar Ikim Dr Mohd Zaidi Ismail.

Enizahura juga berkata perjuangan secara terbuka kelompok pro-LGBT di negara ini mempunyai agenda untuk menghapuskan undang-undang sedia ada bersabit pelaku homoseksual.

Seorang lagi penyelidik kanan Ikim, Siti Shamsiah Md Supi berkata perjuangan menuntut hak dan pengiktirafan terhadap golongan LGBT tidak akan berhenti malah semakin lantang disuarakan dan dipastikan penerimaanya oleh masyarakat dunia.

"Senario ini menunjukkan bahawa lebih banyak usaha perlu dilaksanakan dengan penuh kebijaksanaan dan tersusun agar kita tidak ditewaskan oleh kelewatan dan kesilapan kita dalam bertindak.

"Apabila isu LGBT ini diambil mudah mula berlakunya keruntuhan institusi keluarga, maslahah anak-anak tergugat, hubungan sejenis menyumbang kepada penyakit berjangkit seksual dan mempunyai kadar kelahiran dan kesuburan yang rendah," katanya.

Beliau yang membentangkan kertas kerja bertajuk 'Fenomena LGBT Dari Aspek Kekeluargaan dan Kemasyarakatan' berharap langkah pemantapan serta pengukuhan institusi keluarga dan masyarakat yang bertindak sebagai faktor penghalang penularan budaya negatif asing dapat dijalankan.

"Antaranya termasuklah langkah seperti penegasan pendirian kerajaan untuk menolak pengiktirafan terhadap golongan LGBT, pengukuhan keberkesanan peranan institusi keluarga yang dimainkan ibu bapa dan penekanan lebih besar terhadap ibadah dan adab serta prinsip pergaulan dalam ajaran Islam.

"Tidak kurang juga sokongan bagi pengukuhan peranan ibu bapa oleh pihak sekolah, pelaksanaan peranan yang aktif dan agresif oleh anggota masyarakat serta pembanterasan elemen yang secara tidak langsung menyokong unsur-unsur LGBT," katanya.

Beliau berkata institusi keluarga merupakan asas bagi pembinaan masyarakat dan negara perlu memandang serius agar pembanterasan LGBT ini dapat dilaksanakan dengan tindakan yang proaktif.

Sumber: BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan