Ahad, 30 September 2012

KUTUK HASUT JANJI

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mahu rakyat berwaspada dengan tiga "senjata" iaitu kutuk, hasut dan janji yang digunakan pembangkang untuk memenangi hati mereka.

"Dia mesti kutuk (kerajaan), mereka mesti tentang (kerajaan). Selepas itu, mereka mesti hasut dan kemudian mereka menabur janji. Seperti yang saya telah katakan, mereka akan menjanjikan bulan, bintang dan waima cakerawala," katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional ke-41 Gerakan di Kuala Lumpur, hari ini.

Najib yang juga pengerusi BN berkata rakyat perlu berfikir tentang janji-janji manis yang ditabur oleh pakatan pembangkang yang akhirnya terserlah sebagai racun berbisa buat mereka.

"Adakah ia benar-benar baik untuk rakyat atau akan membawa musibah kepada negara. Inilah rakyat mesti fikir, sebab nak jadi pembangkang senjatanya ada tiga – kutuk, hasut, janji," tegas Perdana Menteri.

Najib berkata untuk menjadi pembangkang yang berwibawa dalam sistem Parlimen, mereka perlu memenuhi beberapa syarat asas, satu daripadanya ialah menggunakan satu simbol sahaja.

"Pendek kata, anda perlu berdaftar sebagai sebuah parti. Tetapi Pakatan Rakyat bukan berdaftar sebagai sebuah parti atau mereka mempunyai satu simbol bersama," katanya.

Perdana Menteri berkata BN telah menggunakan satu simbol sahaja, dengan semua calonnya bertanding di bawah simbol atau lambang BN pada pilihan raya.

"Kami pergi berjumpa dengan rakyat sebagai BN, tetapi pembangkang akan pergi berjumpa rakyat dengan simbol berbeza (simbol parti masing-masing).

"Simbol tak sama...kita tak pasti sama ada mereka akan bentang manifesto yang sama," katanya dan menurutnya malah pergaduhan berhubung hukum hudud di kalangan pakatan pembangkang juga telah berlaku secara terbuka.

Najib berkata ini menunjukkan yang mereka tidak mempunyai pendirian bersama dan dasar bersama mengenai bagaimana negara ini akan ditadbir urus, dan ini diperkukuhkan lagi dengan kegagalan pembangkang mengisytiharkan "kabinet bayangan" mereka.

Najib berkata negara tidak seharusnya diperintah oleh pakatan pembangkang yang berterusan menabur janji yang tidak mampu ditunaikan.

Beliau berkata 75 peratus janji dibuat oleh kerajaan negeri Selangor pimpinan Parti Keadilan Rakyat masih tidak ditunaikan manakala BN terpaksa campur tangan untuk menyelesaikan isu Kampung Buah Pala di Pulau Pinang pimpinan DAP.

Perdana Menteri juga berkata seorang pemimpin perlu adil dan saksama, sikap yang tidak terdapat pada diri ketua pembangkang yang telah cuba menghalang seorang pegawai kanan pelajaran yang kompeten di Pulau Pinang daripada dinaikkan pangkat satu ketika dahulu.

"Bila saya semak perkara itu, saya sanggup mengambil risiko. Dia (ketika itu) Timbalan Perdana Menteri, saya pula Menteri Pendidikan...saya kata "tidak", pegawai itu mesti diberikan jawatan Pengarah Pelajaran. Dan saya bersedia menghadapi akibatnya demi menegakkan prinsip. Seorang pemimpin perlu bersikap adil dan saksama," katanya.

Beralih kepada Belanjawan 2013 yang dibentangkan beliau pada Jumaat, Najib berkata mantera falsafah kerajaan dalam penyediaannya adalah mendahulukan rakyat dan segala langkah yang dibuat adalah untuk rakyat.

"Belanjawan ini adalah mengenai rakyat serta untuk menggerakkan ekonomi. Anda tidak boleh hanya bercakap mengenai rakyat tanpa menggerakkan ekonomi, tanpa menarik pelaburan asing, pelaburan domestik, inovasi dan produktiviti.

"Terdapat 111 inisiatif atau touch points dalam Belanjawan 2013. Bacalah satu persatu-satu," katanya.

- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan