Rabu, 18 April 2012
RAKYAT PUAS HATI DENGAN PENJIMATAN YANG DISEDIAKAN OLEH KERAJAAN
Sejak dilancarkan Jun lalu, Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) terus menjadi pilihan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah di bandar raya Ipoh untuk membeli barangan keperluan harian kerana menawarkan diskaun harga rendah lagi berpatutan.
Dengan pendekatan ‘Diskaun Setiap Hari’, tidak hairanlah KR1M yang beroperasi di Kampung Tengku Hussin, dekat Gugusan Manjoi tidak putus-putus menerima kunjungan pelanggan pada setiap hari bagi membeli barangan keperluan harian yang menggunakan jenama 1Malaysia.
Tinjauan mendapati kebanyakan pengunjung berpuas hati dan sangat teruja dengan potongan harga yang ditawarkan KR1M.
Pelanggan, S. Ramesh, 43, berkata beliau sekeluarga memilih untuk membeli barang keperluan harian di kedai tersebut kerana perbezaan harga yang ketara dengan kedai runcit biasa.
“Saya selalu beli beras, susu dan gula sebab harga di sini lebih murah.
“Kedai ini amat sesuai untuk membantu rakyat berpendapatan rendah berjimat-cermat,” katanya lagi.
Bagi peniaga Sofia Abdullah, 31, walaupun harga yang ditawarkan rendah, kualiti barangan yang dijual setanding dengan barang keperluan harian berjenama.
“Kualitinya baik dan pada masa yang sama harga jauh lebih murah….saya boleh berjimat-cermat apabila membeli barang keperluan di kedai ini,” jelasnya.
Namun begitu, KR1M katanya, sering kehabisan stok barangan berikutan sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan.
“Saya harap pihak pengurusan dapat menyediakan stok yang lebih banyak pada masa akan datang kerana sambutan orang ramai yang begitu mengalakkan,” tambahnya.
Bagi Intan Harinaz, 35, beliau begitu tertarik dengan potongan harga hebat yang ditawarkan KR1M.
“Ini merupakan kali pertama saya mengunjungi kedai ini dan dengan tawaran harga yang diberi, ia dapat membantu rakyat seperti saya untuk berjimat cermat,” katanya.
Tambahnya, lokasi KR1M di kawasan tersebut juga amat bersesuaian kerana ramai penduduk di Gugusan Manjoi berpendapatan rendah dan sederhana.
Setakat ini, terdapat lima KR1M yang beroperasi di seluruh Perak termasuklah di Bagan Serai, Teluk Intan dan Bidor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan