Selasa, 17 April 2012

NASIHAT DARI MANTAN PERDANA MENTERI

Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pelajar yang mahu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dihapuskan sepatutnya memulangkan pinjaman mereka atau tidak mengambil pinjaman itu, bukan mengadakan tunjuk perasaan di jalan raya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, mereka yang mencadangkan agar kerajaan menghapuskan PTPTN pula perlu mencari jalan untuk memberi bantuan kewangan kepada pelajar berkenaan.

Kata beliau, penghapusan PTPTN akan memberi kesan bukan saja terhadap kos pendidikan, tetapi juga dalam pengagihan kemudahan yang turut memberi manfaat kepada golongan berada.

“Kalau anda hapuskannya, anda perlu menggantikannya dengan yang lain, yang mungkin melibatkan kos lebih besar, contohnya memberi pendidikan percuma kepada setiap orang. Dalam hal ini, golongan kaya juga akan menikmatinya,” kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Dr. Mahathir mempengerusikan sesi perbincangan strategi peringkat tinggi kumpulan terpilih bertajuk ‘Pemacu Landskap Baru Ekonomi Di Persada Negara dan Global - Dilema Sektor Swasta Malaysia’ anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia di sini hari ini.

Dr. Mahathir berkata, matlamat PTPTN ialah untuk membantu golongan miskin melanjutkan pengajian ke peringkat universiti dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membantu golongan itu.

“Idea penubuhan PTPTN ialah membantu orang yang tidak berkemampuan di segi kewangan mendapatkan pelajaran yang baik, tapi jika tiada bayaran yuran dikenakan, yang kaya juga akan menikmati manfaat yang sama dan ini tidak adil kepada yang miskin.

“Kenapa kita perlu bantu yang kaya? Kita sepatutnya menolong yang miskin, PTPTN adalah untuk yang miskin,” katanya.

Mengenai penghapusan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk digantikan dengan Akta Kesalahan Keselamatan yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak dapat memberi komen mengenai undang-undang baru itu kerana belum menelitinya.
 
Mengenai ISA, beliau berkata bukan ISA yang menjadi masalah tetapi cara ia dilaksanakan.
“Seperti yang anda maklum, Amerika mempunyai ISA yang lebih keras daripada kita, mereka menahan (tahanan) tanpa perbicaran. Mereka di Guantanamo Bay, sejak 10 tahun lepas tidak dibicarakan dan sebagainya... sudahlah begitu, mereka membenarkan penyeksaan ketika ditahan,” katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan