Selasa, 17 April 2012

MAHASISWA JANGAN JADI BODOH KATA ZULKIFLI NORDIN

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Nordin meminta agar para pelajar yang terlibat dengan demonstrasi menghapuskan PTPTN baru-baru ini supaya menggunakan akal fikiran yang dianugerahkan Allah untuk menilai baik atau buruknya tindakan mereka itu.

“Jangan kita termakan dengan hasutan dan dakyah pihak tertentu sehingga kita sanggup menghina orang lain termasuk menghina Perdana Menteri dengan meletakkan kalungan bunga di gambar beliau, lalu dipanggil mendiang seolah-olah Perdana Menteri sudah mati. Ini adalah satu perbuatan yang jauh tersasar dari norma cara berfikiran orang yang mendapat pendidikan tinggi,” tegas beliau.

Tambahnya lagi, para pelajar tersebut perlu berfikir semula yang pertamanya, adakah mereka yang terlibat dalam demostrasi itu benar-benar layak untuk menerima biasiswa dan yang keduanya, jika mereka tidak layak untuk menerima biasiswa, adakah mereka itu mampu untuk masuk ke universiti dengan kos tanggungan mereka sendiri.

“Mungkin mereka ini tahu, dan saja-saja buat tak tahu bahawa PTPTN ini diwujudkan oleh kerajaan sebagai satu prasarana untuk memudahkan mana-mana pelajar di negara ini yang tidak layak mendapat biasiswa dan tidak berkemampuan untuk masuk ke universiti.

“Dengan kemudahan ini, maka pelajar-pelajar tidak lagi pening-pening untuk memikirkan di mana mahu mencari sumber kewangan bagi menampung pelajaran mereka di IPTA-IPTA seluruh negara. Cuba perhatikan negara-negara lain, mana ada kemudahan bantuan kewangan seperti ini. Malah negara moden yang dianggap hebat seperti Amerika sendiri pun tidak ada skim seperti ini,” tegas beliau ketika ditemui di Parlimen hari ini.

Jelasnya lagi, pelajar-pelajar di negara ini sepatutnya bersyukur dan menggunakan peluang yang ada ini untuk belajar bersungguh-sungguh agar lulus dengan cemerlang dan mendapat pekerjaan yang baik.

“Selepas itu, kita boleh menggunakan gaji yang kita terima itu untuk membayar balik pinjaman tersebut untuk memberi peluang kepada adik-adik kita menggunakan kemudahan ini untuk melanjutkan pelajaran sepertimana peluang dan kemudahan yang kita gunakan,” ujarnya.
Beliau juga menasihati para pelajar agar menggunakan akal fikiran yang waras untuk menilai baik dan buruk sesuatu isu yang dibangkitkan oleh pembangkang dan janganlah mudah terpengaruh dengan cara pembangkang yang cuba membangkitkan sentimen emosi rakyat di negara ini.

Katanya lagi, masyarakat terutamanya para pelajar perlu memahami tujuan PTPTN ini diwujudkan adalah untuk membantu para pelajar yang tidak mendapat biasiswa atau daripada kalangan keluarga yang miskin untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

“Memang ia berbentuk pinjaman namun pinjaman tersebut tidaklah membebankan dan syarat-syarat pembayaran semula yang dikenakan adalah amat mudah. PTPTN ini adalah skim pinjaman secara sukarela dan tidak ada paksaan ke atasnya. Jadi mana-mana pelajar yang mampu untuk meneruskan pembelajaran tanpa bantuan PTPTN, maka mereka tidak dipaksa untuk meminjam dari PTPTN.
“Malah mereka boleh mendapatkan tajaan dari sesiapa sahaja termasuk pihak pembangkang samada PKR, Pas , DAP atau pun tajaan dari Anwar Ibrahim sendiri kalau mereka mahu bantu. Dalam hal ini, tidak ada sesiapa yang memaksa mereka untuk mengambil pinjaman dari PTPTN,” ujarnya.

Sekiranya para pelajar itu tidak mahu membayar balik pinjaman PTPTN katanya lagi, maka mereka perlu belajar dengan bersungguh-sungguh serta mendapat kelulusan yang cemerlang supaya pinjaman tersebut akan ditukar menjadi biasiswa yang tidak perlu dibayar balik.

Selain itu, beliau turut mengingatkan pelajar-pelajar agar tidak terpengaruh dengan permainan politik pembangkang yang cuba menjadikan para pelajar sebagai alat untuk mencapai tujuan dan matlamat politik mereka.

“Semasa PTPTN diluluskan, kita perlu ingat di waktu itu Anwar Ibrahim merupakan Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan. Tapi sekarang ini Anwar mahu bercakap tentang penghapusan PTPTN padahal dia jugalah yang meluluskan cadangan untuk mewujudkan skim pinjaman tersebut. Tidakkah itu membuktikan bahawa politik pembangkang merupakan politik yang cakap tak serupa bikin?

“Kalau pihak pembangkang ini serius mahu menghapuskan segala hutang PTPTN, mereka boleh mulakan dengan negeri-negeri yang mereka perintah terlebih dulu. Contohnya menghapuskan hutang pelajar-pelajar yang mendapat pinjaman PTPTN di Unisel, Kuis dan lain-lain.

“Apa yang mereka boleh buat ialah mendapatkan nama-nama pelajar yang meminjam dan mereka gunakan duit kerajaan negeri untuk membayar hutang-hutang pelajar tersebut. Tapi masalahnya, mereka tidak buat pun perkara itu,” tegasnya.

Soalnya lagi, bagaimana para pelajar boleh terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang kononnya akan menggunakan duit Petronas untuk membayar balik pinjaman PTPTN sedangkan mereka boleh menggunakan hasil pendapat GLC di Selangor untuk membayar balik pinjaman para pelajar, namun tidak pula mereka lakukan?

“Jika segala kewangan yang ada pada negeri-negeri yang mereka perintah hari ini pun mereka tidak gunakan untuk membayar hutang PTPTN tersebut, jadi apakah kita yakin sekiranya mereka memerintah negara, mereka akan menggunakan duit mana-mana agensi kerajaan untuk membayar balik hutang PTPTN para pelajar di negara ini? Sudah tentu tidak!

“Jadi jelas sekarang ini, segala isu yang timbul tentang PTPTN ini adalah semata-mata dakyah dan hasutan serta gimik politik mereka dengan mempergunakan para pelajar dan mahasiswa di negara ini,” tegas beliau

Tiada ulasan:

Catat Ulasan