Rabu, 18 April 2012

KERAJAAN PERAK TERUS MEMBANTU RAKYAT


Kerajaan negeri mengumumkan sumbangan RM30,000 buat adik Wan Arif Ferdaus Wan Ahmad yang bakal menjalani pembedahan kanser tulang dan implan kaki kirinya yang membabitkan kos keseluruhan mencecah RM80,000.

Berita gembira itu disuarakan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir kepada bapa kanak-kanak berusia lapan tahun itu, Wan Ahmad Affendy Wan Mohd Yaakob ketika menemui pasangan anak beranak itu pada program Bersama Pelanggan di Dewan Serbaguna SUK, hari ini.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, Zambry berkata, kerajaan negeri bertanggungjawab untuk membantu Wan Arif Ferdaus menjalani pembedahan dan implan kaki kirinya yang menelan kos RM80,000.

“Kisah Wan Arif Ferdaus mendapat liputan meluas di media massa tempatan dan di pihak kerajaan negeri, kita tidak ketinggalan untuk menghulurkan bantuan bernilai RM30,000 bagi membolehkan kanak-kanak menjalani pembedahan dengan selamat,” katanya.

Wan Arif Ferdaus dijadual menjalani pemeriksaan darah hari ini dan melakukan rawatan kimoterapi kali keempat di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Isnin depan.

Menurut bapanya, kesihatan Wan Arif Ferdaus menunjukkan petanda positif berbanding sebelum ini dan selera makannya juga bertambah.

Setakat ini, RM50,000 telah berjaya dikumpulkan hasil sumbangan rakyat Malaysia yang prihatin dengan nasib kanak-kanak itu selepas kisahnya mendapat liputan media di media massa tempatan baru-baru ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan